Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

M'sia bakal lahirkan pelari pecut bertaraf dunia 5 tahun lagi?

Mampukah Malaysia melahirkan pelari pecut bertaraf dunia dalam tempoh lima tahun lagi?

Anggaran Waktu Membaca:
M'sia bakal lahirkan pelari pecut bertaraf dunia 5 tahun lagi?

Masa terbaik buat masa ini dicatat oleh Khairul Hafiz Jantan pada Sukan Malaysia (Sukma) 2016. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 05 Nov 2021 06:42PM Dikemas Kini : 05 Nov 2021 06:49PM

KUALA LUMPUR: Mampukah Malaysia melahirkan pelari pecut bertaraf dunia dalam tempoh lima tahun lagi?

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yakin atlit pecut negara yang boleh berlari di bawah 10 saat mampu dihasilkan.

Justeru, KPT mencetuskan revolusi mewujudkan Projek Larian 100 Meter (m) Bawah 10 Saat (B10) yang dilihat bakal memberi sinar baru dalam arena olahraga negara melahirkan jaguh terbilang dunia bagi acara riben biru itu.

Menterinya Dr Noraini Ahmad berkata Projek B10 diwujudkan selepas menyedari pelari Malaysia agak ketinggalan untuk bersaing dengan jaguh bertaraf dunia di persada antarabangsa.

“Berdasarkan catatan terbaik 10.18 saat (s) dilakar oleh Khairul Hafiz Jantan pada Sukan Malaysia (Sukma) 2016, Malaysia masih agak ketinggalan untuk mencabar atlit hebat walau hanya di Asia Tenggara manakala catatan terbaik Asia Tenggara iaitu 10.03s pula dicipta atlit sensasi Indonesia Lalu Muhammad Zohri yang telah layak beraksi di Sukan Olimpik Tokyo baru-baru ini.

“Walaupun ini suatu cabaran yang sukar, namun saya percaya kita mampu melahirkan pelari pecut negara yang boleh berlari dengan keupayaan luar biasa melalui bimbingan terbaik serta kepercayaan tinggi yang diberikan oleh KPT.

"Kalau boleh kita mahu jadi negara yang pertama di Asia Tenggara berjaya memecahkan tembok halangan ini,” katanya.

Dr Noraini menarik perhatian Projek B10 adalah sangat istimewa selain menjadi projek seumpamanya di Malaysia yang menumpukan kepada satu disiplin sukan sahaja selain berharap perancangan teliti serta kejayaan program itu mampu menjadikan Malaysia sebagai hab melahirkan jaguh pecut di Asia Tenggara.

Beliau juga memaklumkan projek itu mendapat sentuhan pakar tempatan melibatkan bekas jaguh pecut negara dan jurulatih kebangsaan itu manakala Pusat Sukan Universiti Putra Malaysia (UPM) dipilih menjadi penyeleras projek berkenaan yang dijangka bermula Februari depan.

Antara individu yang diumum menyertai barisan kejurulatihan adalah bekas jaguh pecut negara iaitu Nazmizan Muhammad, Azmi Ibrahim dan Watson Nyambek selain turut diperkuatkan dengan kehadiran Ketua Jurulatih Olahraga Kebangsaan, Mohd Manshahar Abdul Jalil serta Jurulatih Pecut, Mohd Poad Md Kassim.

Selain menetapkan hanya 10 orang calon berusia dalam lingkungan 18 hingga 22 tahun, mereka juga harus memenuhi kriteria ditetapkan iaitu mampu berlari di bawah empat saat pada jarak 30m, berlari kurang dari 6.5s bagi jarak 60m, berupaya melakukan lompatan menegak berdiri lebih dari 55cm selain mempunyai ketinggian fizikal lebih 1.78cm. 

Sumber : Bernama/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan