Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Loh Kean Yew tidak terbawa-bawa menang Terbuka Hylo, mahu buktikan lebih banyak lagi

Buku jarinya berdarah, lututnya pula bengkak dan beliau berada hanya satu perlawanan di belakang pesaing yang meraih ranking lebih tinggi.

Anggaran Waktu Membaca:
Loh Kean Yew tidak terbawa-bawa menang Terbuka Hylo, mahu buktikan lebih banyak lagi

Loh Kean Yew memegang pingat dan piala setelah memenangi Kejohanan Terbuka Hylo pada 7 Nov 2021 (Gambar: Facebook/Singapore Badminton Association)

Diterbitkan : 10 Nov 2021 10:38AM Dikemas Kini : 10 Nov 2021 10:40AM

SINGAPURA: Buku jarinya berdarah, lututnya pula bengkak dan beliau berada hanya satu perlawanan di belakang pesaing yang meraih ranking lebih tinggi.

Namun, inilah detik-detik yang menguatkan semangat pemain badminton negara Loh Kean Yew. Malah, atlit berusia 24 tahun itu suka apabila dirinya bukan pemain pilihan untuk memenangi sesuatu perlawanan.

Loh menyifatkannya sebagai "shiok".

"Berdepan dengan pemain di ranking lebih tinggi lebih shiok. Saya sentiasa puas hati dapat mengalahkan orang lain," kata Loh selepas buat pertama kali memenangi gelaran Super 500 Jelajah Dunia BWF di Terbuka Hylo pada Ahad (7 Nov).

Sepanjang kejohanan dengan hadiah utama AS$320,000 (S$431,000) di Saarbrucken, Jerman itu, Loh yang menduduki ranking ke-39 di dunia memenangi perlawanan demi perlawanan.

Awalnya dia mengejutkan pemain keempat terbaik Chou Tien-chen dan kemudian menundukkan pemain ke-35 di dunia Toma Junior Popov. Di peringkat suku akhir pula, Loh menewaskan Dane Rasmus Gemke dalam ketiga-tiga perlawanan.

Selepas itu, Loh menebus kekalahan di Kejohanan Terbuka Perancis ke atas pemain India Lakshya Sen yang berada di kedudukan ke-21 di dunia.

Akhir sekali, Loh menundukkan pemain kelapan terbaik dunia Lee Zii Jia dari Malaysia yang sebelum ini ditewaskannya di Kejohanan Terbuka Perancis bulan lalu.

Malah bukan sahaja Loh yang menempah tempat di perlawanan akhir. Rakan seperjuangan Yeo Jia Min juga memasuki peringkat akhir dan muncul di tempat kedua acara perseorangan wanita.

Ini merupakan pertama kali rakyat Singapura layak ke kedua-dua perlawanan akhir Super 500 Jelajah Dunia BWF.

Menyifatkannya sebagai "kejayaan cemerlang", Loh berharap ia akan menarik lebih banyak minat tempatan kepada sukan itu dan membuktikan bahawa ia bukan angan-angan semata-mata untuk rakyat Singapura mengejar impan bermain badminton.

Loh berkata: "Ia bukan tentang hadiahnya semata-mata. Ia juga adalah satu penghormatan dapat mewakili Singapura."

Loh juga berkata beliau tidak boleh terbawa-bawa dengan kemenangan di Jerman itu.

"Ini hanyalah satu kejuaraan. Penting untuk melakukan sedemikian bagi setiap pertarungan," kata beliau.

Dia juga menarik perhatian bahawa pemain handal lain seperti Viktor Axelson dan Kento Momota tidak menyertai Kejohanan Terbuka Hylo.

"Saya tetap menang tetapi bukan semua pemain handal beraksi di situ, hanya sebilangan sahaja," kata beliau. "Di kejohanan ini, pemain-pemain handal itu tidak beraksi jadi saya tidak dapat cukup membuktikan diri saya...ia bukan kejohanan di mana semua pemain ada dan anda menang, misalnya seperti Sukan Olimpik."

Meskipun begitu, kemenangan di Terbuka Hylo adalah peringatan bahawa rakyat Singapura itu, yang memenangi Kejohanan Terbuka Belanda bulan lalu, boleh beraksi setanding dengan pemain terbaik dunia.

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan