Loh Kean Yew tersingkir; Yeo Jia Min mara ke peringkat seterusnya Sukan Komanwel
Jaguh badminton dunia, Loh Kean Yew, tersingkir daripada acara perseorangan lelaki di Sukan Komanwel pada Sabtu (6 Ogos) setelah kalah kepada pemain dari Malaysia, Ng Tze Yong di peringkat suku akhir.

Pemain badminton negara Loh Kean Yew beraksi di acara perseorangan lelaki menentang Toby Penty dari England di Sukan Komanwel di Birmingham, England, pada 2 Ogos 2022. (Gambar: AP_
Rentak permainan pada mulanya memihak kepada pemain nombor 9 dunia itu tetapi lawannya dari Malaysia, yang menduduki tangga ke-42 dalam ranking dunia, bangkit untuk melakarkan kemenangan 21-15, 14-21, 11-21.
Sementara itu, rakan senegara Loh, Jason Teh, mara ke peringkat separuh akhir acara perseorangan lelaki selepas menundukkan pemain Jamaica, Samuel Ricketts, 22-20, 21-10 di peringkat suku akhir pada Sabtu.
Teh sama ada akan bersemuka dengan Lakshya Sen dari India atau pemain Mauritius, Julien Georges Paul, di peringkat separuh akhir nanti.
Dalam acara perseorangan wanita pula, pemain nombor 19 dunia, Yeo Jia Min, menghantar pulang Wendy Chen dari Australia setelah menang 21-15, 21-15. Yeo, yang kini di kedudukan keempat, seterusnya akan menentang pemain dari India, PV Sindhu, di peringkat separuh akhir.
Pasangan beregu campuran, Jessica Tan dan Terry Hee, juga menumpaskan lawan mereka dari New Zealand, Anona Pak dan Oliver Leydon Davis. Pasukan Singapura menang 21-11, 21-11.
Tan dan Hee seterusnya akan berentap dengan Tan Kian Meng dan Lai Pei Jing dari Malaysia untuk merebut tempat di peringkat akhir.
Dalam acara beregu wanita di peringkat suku akhir, Jin Yujia dan Crystal Wong kecundang di tangan pasangan pemain dari Malaysia, Pearly Tan and Thinaah Muralitharan (21-15, 11-21, 21-15) dalam perlawanan yang berlangsung lebih sejam.
Awal sebelum itu, pasukan badminton Singapura membawa pulang pingat gangsa bagi acara berpasukan campuran selepas menumpaskan England 3-0.
Anda boleh ikuti acara-acara Sukan Komanwel secara langsung di meWATCH atau sedutannya melalui saluran Mediacorp Entertainment di YouTube.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.