Loh Kean Yew tersingkir di peringkat suku akhir Kejohanan Dunia BWF
Jika sebelum ini Loh Kuan Yew sering mengalahkan pemain yang lebih baik daripada dirinya, kali ini pemain nombor sembilan dunia itu merasai pengalaman sebaliknya, berikutan kekalahan beliau kepada pemain Kanada, Victor Lai, dalam suku akhir perseorangan lelaki Kejohanan Dunia BWF.
Pemain badminton Singapura, Loh Kean Yew. (Gambar fail: SNOC/Kong Chong Yew)
Dalam pertemuan pertama mereka, Lai yang membuat penampilan sulungnya dalam kejohanan dunia dan kini berada di tangga ke-50 dunia, mengalahkan Loh 22-20, 21-18 di Arena Adidas, Paris.
Pada peringkat awal perlawanan, kedua-dua pemain tampak seimbang, namun Lai yang berusia 20 tahun kekal tenang dan kemudiannya mendahului 11-8 sebelum waktu rehat selepas meraih empat mata berturut-turut.
Biarpun begitu, Loh, 28 tahun, yang menunjukkan semangat juang sepanjang kejohanan, memanfaatkan beberapa kesilapan Lai untuk mengatasi ketinggalan dan mendahului 17-12.
Bagaimanapun, pemain Kanada itu enggan mengalah dan beliau berjaya menyamakan kedudukan 19-19 dan sekali lagi pada 20-20, sebelum menutup set pertama dalam masa 22 minit.
Pemain Singapura Loh bermula dengan lebih bertenaga pada set kedua dan segera mendahului 4-0. Namun, Lai sekali lagi membuktikan bahawa beliau tidak gentar dengan suasana yang dihadapai biarpun lawannya lebih berpengalaman, dan meraih lapan mata berturut-turut.
Menjelang waktu rehat, Lai mendahului 11-9, dan Loh tidak lagi berupaya untuk merampas kelebihan tersebut sehingga lawannya menamatkan perlawanan dengan kemenangan terbesar setakat ini dalam kejohanan itu.
Lai, yang sebelum ini menyingkirkan pemain nombor 11 dunia dari China, Lu Guangzu, dan pemain di tangga ke-38 dari Korea Selatan, Jeon Hyeok-jin, akan berdepan pemain nombor satu dunia Shi Yu Qi dari China atau rakan senegaranya, Weng Hong Yang, di separuh akhir.
Tiada perlawanan penentuan bagi tempat ketiga, justeru itu, Lai bakal merangkul setidak-tidaknya pingat gangsa. Pemain perseorangan lelaki bukan pilihan yang terakhir mara ke separuh akhir Kejohanan Dunia BWF ialah Loh pada 2021.
Ini merupakan kejohanan pertama Loh selepas beliau mengalami jangkitan bakteria yang menyebabkan beliau terlepas peluang beraksi di Kejohanan Terbuka China dan Jepun.
Dalam pusingan awal, Loh mengalahkan Georges Julien Paul dari Mauritius dan Kalle Koljonen dari Finland untuk mara ke pusingan 16 terbaik.
Beliau kemudian bangkit daripada ketinggalan satu set untuk menundukkan pemain Jepun, Kodai Naraoka, 5-21, 21-19, 21-19 pada Khamis.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.