Loh Kean Yew tersingkir daripada Terbuka Singapura, kalah kepada Li Shi Feng dari China di suku akhir
Pemain badminton Singapura Loh Kean Yew beraksi dalam perlawanan pada 26 Julai 2023. (Gambar fail: Richard A Brooks/AFP)
SINGAPURA: Bintang badminton negara, Loh Kean Yew tersingkir daripada Terbuka Singapura pada Jumaat (31 Mei) selepas dia kalah kepada pemain nombor 6 dunia Li Shi Feng dalam suku akhir perseorangan lelaki.
Berlangsung di Stadium Tertutup Singapura, juara Sukan Asia itu mencatat kemenangan 21-19, 21-16 dalam masa 56 minit menentang pemain nombor 12 dunia, Loh.
Didorong oleh sokongan padu penyokong tuan rumah, pemain bukan pilihan Singapura itu mendahului 11-5 sebelum masa rehat.
Bagaimanapun, Li, bangkit selepas masa rehat dan menyamakan kedudukan tiga kali, sebelum mendahului buat kali pertama dengan mata 19-18.
Loh sekali lagi mendahului lawannya 10-6 pada pusingan kedua.
Namun, Loh tidak mampu bertahan dan melakukan beberapa kesilapan dengan Li berjaya merapatkan jurang kepada 11-10 sebelum masa rehat.
Li kemudian meraih enam mata berturut-turut untuk mendahului 18-14 dan memastikan tempatnya ke separuh akhir pada Sabtu, di mana dia akan menentang pemain nombor satu dunia Denmark, Viktor Axelsen.
Kekalahan Loh juga bermakna dia gagal menyamai pencapaian terbaiknya pada kejohanan itu. Pada 2022, Loh mara ke separuh akhir selepas mengalahkan Li, sebelum tumbang kepada Anthony Ginting.
Pemain berusia 26 tahun itu merupakan satu-satunya warga Singapura yang masih bertanding dalam Kejohanan Badminton Terbuka Singapura 2024 selepas pemain perseorangan wanita Yeo Jia Min dan pasangan beregu campuran Terry Hee dan Jessica Tan tersingkir pada pusingan pembukaan.
Loh mengalahkan pemain China, Lu Guangzu 25-27, 21-15, 21-5 pada pusingan pembukaan pada Selasa, sebelum menumpaskan pemain nombor empat dunia Anders Antonsen 21-15, 11-21, 22-20 dua hari kemudian.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.