Skip to main content

Sukan

Loh Kean Yew, Shanti Pereira mahu tingkatkan pencapaian dalam Sukan Olimpik Paris

Anggaran Waktu Membaca:
Loh Kean Yew, Shanti Pereira mahu tingkatkan pencapaian dalam Sukan Olimpik Paris

(Gambar: Richard A. Brooks / AFP & Jewel SAMAD / AFP)

SINGAPURA: Sebilangan atlet Singapura mahu meningkatkan pencapaian mereka dalam temasya Olimpik kedua mereka di Paris.

Ini meskipun mereka berdepan dengan cabaran-cabaran seperti kecederaan, menjelang Olimpik Paris hujung bulan ini.

Ini bermakna, mereka perlu mengubah rancangan latihan mereka demi memastikan mereka dapat pulih secepat mungkin.

Semasa bertanding buat kali pertama di Olimpik Tokyo 2020, Loh Kean Yew merupakan atlet tidak dikenali ramai.

Dengan ranking ke-42 di dunia pada masa itu, Loh tersingkir semasa peringkat kumpulan.

Namun, keadaan kini berbeza.

Loh kini pemain ke-10 terbaik dunia, sudah meraih gelaran juara dunia dan berjaya menjuarai tiga kejohanan jelajah dunia.

Kemenangan Loh dalam Kejohanan Masters Sepanyol awal tahun ini, yang juga merupakan kemenangan pertamanya dalam tempoh 27 bulan, juga membantunya meningkatkan lagi latihannya.

Pemain badminton negara itu berkata: "Saya mahu melepasi peringkat kumpulan dan melakukan lebih baik lagi berbanding sebelumnya. Tentu sekali, saya harapkan untuk melakukan yang terbaik dan saya harap untuk meraih pingat juga. Jika saya membandingkan diri saya, tentu sekali saya kini mempunyai lebih banyak pengalaman kerana saya sudah melaluinya sekali."

Bagi ratu pecut negara, Shanti Pereira pula, dia memulakan pelan latihan baharu walaupun sedang beransur pulih daripada kecederaannya.

"Dengan semua kecederaan, apa yang kami selalu risaukan adalah untuk tidak membiarkannya berlaku lagi. Itulah sebab kami sangat memberi tumpuan untuk menguatkan diri, pelbagai bahagian tubuh untuk memastikan ia dijaga, agar ia tidak berlaku lagi. Semasa saya di rumah, tumpuannya adalah untuk biarkan ia pulih," kata Shanti.

Beliau juga bertanding dalam beberapa kejohanan di merata Eropah, sebagai sebahagian daripada persiapannya.

Ia juga membantunya mengutip mata bagi ranking tahun ini dan tahun hadapan.

"Saya membandingkan (diri saya) bukan berdasarkan Tokyo, tapi berdasarkan Kejohanan Dunia tahun lalu, untuk mencapai lebih baik lagi dalam kedua-dua acara 100m dan 200m. Bagi 100m, saya tidak melayakkan diri untuk peringkat separuh akhir, jadi saya harap untuk melayakkan diri kali ini. Bagi 200m, untuk meraih kedudukan lebih baik lagi berbanding tahun lalu. Saya berada di tempat ke-17. Jadi saya mahu mencapai lebih baik lagi," tambahnya.

Bagi ratu pecut Singapura ini, dia juga mahu menikmati dan memanfaatkan sepenuhnya pengalaman berharga ini.

Anda boleh menyaksikan para atlet Team Singapore dalam Sukan Olimpik Paris secara langsung dan percuma, menerusi wadah meWATCH.
 
Sumber : CNA/IA/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita