Loh Kean Yew mulakan kempen Olimpik Paris 2024 dengan kemenangan ke atas pemain Republik Czech
PARIS: Berdepan dengan pemain yang belum pernah masuk gelanggang menentangnya, ia mengambil sedikit masa untuk pemain nombor 13 dunia Loh Kean Yew untuk menyesuaikan diri dengan perlawanan pembukaannya di Sukan Olimpik Paris 2024.
Sungguhpun demikian, Loh akhirnya mengalahkan pemain Republik Czech, Jan Louda 21-13, 21-10 pada Ahad (28 Jul).
Di Arena Porte de La Chapelle, pemain Singapura itu ketinggalan dalam set pertama 9-11 semasa menentang pemain nombor 63 dunia itu.
"Saya belum pernah menentangnya sebelum ini jadi pastinya perlu mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri," kata Loh kepada para wartawan.
Bekas juara dunia itu sekali lagi ketinggalan dalam set kedua sebelum mendahului 11-8.
“Dia seorang pemain yang hebat dan dia bukan seorang pemain yang saya akan pandang rendah,” tambah Loh.
Jika Loh mengalahkan pemain El Salvador Uriel Canjura pada Rabu ini, ia akan memastikan pemain Singapura itu akan mara ke pusingan seterusnya.
“Saya perlu mempersiapkan diri sepenuhnya, saya berada di sini bukan untuk memandang rendah pada sesiapa dan saya rasa dia juga pemain yang sangat hebat,” tambah Loh.
Seorang lain pemain badminton Singapura yang mara ke pusingan seterusnya ialah pemain wanita Yeo Jia Min, yang memenangi perlawanan menentang pemain kelahiran Iran, Dorsa Yavarivafa dari Pasukan Olimpik Pelarian.
Yeo akan berdepan dengan Kate Foo Kune dari Mauritius pada Selasa (30 Jul) dan kemenangan akan memastikan Yeo mara ke pusingan 16 pemain terakhir.
Loh dan Yeo, yang kedua-duanya membuat penampilan sulung di Sukan Olimpik Tokyo tiga tahun lalu, tidak pernah melepasi peringkat kumpulan Sukan Olimpik.
Anda boleh ikuti liputan Sukan Olimpik Paris 2024 di mewatch. Lungsuri www.mewatch.sg/paris2024 bagi butiran lanjut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.