Loh Kean Yew menang perlawanan akhir Terbuka Taipei; kejuaraan pertamanya dalam 14 bulan

Loh Kean Yew tewaskan pemain tuan rumah Chou Tien-chen dalam perlawanan akhir perseorangan lelaki di Terbuka Taipei. (Gambar: CNA)
SINGAPORE: Loh Kean Yew meraih kemenangan pertamanya dalam 14 bulan pada Ahad (11 Mei) selepas menumpaskan pilihan tuan rumah Chou Tien-chen dalam perlawanan akhir perseorangan lelaki di Terbuka Taipei.
Loh, yang juga pemain nombor 11 dunia, yang merupakan pilihan kedua dalam kejohanan Super 300 ini, menewaskan pilihan utama dan pemain nombor 9 dunia Chou 21-14, 15-21, 22-20 dalam masa 69 minit.
Dalam perlawanan yang sengit itu, pemain Singapura tersebut diuji oleh lawannya yang berusia 35 tahun tetapi berjaya mengekalkan rentak perlawanan.
Ini terutamanya dalam permainan terakhir di mana Chou menyelamatkan empat mata perlawanan untuk menjadikan kedudukan 20-20 sebelum bekas juara dunia itu menamatkan perlawanan.
Pemain nombor 11 dunia itu membalas kekalahan semasa peringkat akhir Thailand Masters 2024 kepada pemain Taiwan tersebut, untuk meraih gelaran keempat BWF World Tour beliau.
Beliau juga memajukan rekod pertemuan dengan lawannya yang berusia 35 tahun itu kepada 4-4 berikutan kemenangan tersebut.
Dalam perjalanan untuk melangkah ke peringkat akhir, Loh menewaskan Chan Yin Chak dari Hong Kong, Joakim Oldorff dari Finland, Panitchaphon Teeraratsakul dari Thailand dan Wang Tzu-wei.
Beliau adalah pemain pertama Singapura yang merangkul kejuaraan di Terbuka Taipei.
TAHUN YANG CEMERLANG
Dengan jurulatih perseorangan Singapura yang baharu, Kim Ji-hyun, Loh telah menunjukkan prestasi yang baik tahun ini.
Beliau memenangi pingat gangsa di Kejohanan Badminton Asia bulan lalu, menjadi naib juara di Terbuka Jerman dan mara ke suku akhir Terbuka All England.
Selain memenangi Spain Masters tahun lalu dan dinobatkan sebagai juara Kejohanan Dunia BWF 2021, Loh memenangi Thailand Masters pada 2019 dan Hylo Open pada 2021.
Dalam perlawanan akhir perseorangan wanita pula, Tomoka Miyazaki dari Jepun menewaskan Pitchamon Opatniputh dari Thailand 21-12, 20-22, 21-14 dalam pertarungan dua pemain muda berusia 18 tahun untuk meraih gelaran BWF World Tour ketiganya.
Loh akan menetapkan sasaran seterusnya pada Terbuka Thailand Super 500, yang akan bermula pada Selasa (13 Mei).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.