Loh Kean Yew mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka SG
Loh Kean Yew meneruskan harapannya untuk menjulang gelaran sulung Kejohanan Badminton Terbuka Singapura KFF selepas mengalahkan pemain Taiwan Chi Yu-jen dalam pusingan suku akhir perseorangan lelaki pada Jumaat (29 Mei).
Loh Kean Yew beraksi di Kejohanan Badminton Terbuka Singapura. (Gambar: Persatuan Badminton Singapura)
Di Stadium Tertutup Singapura, pemain nombor 14 dunia itu menang 16-21, 21-6, 21-8 untuk mencatat kemenangan pertamanya ke atas pemain nombor 18 dunia itu dalam tiga pertemuan.
Bekas juara dunia itu akan berdepan pemain Jepun Koki Watanabe pada Sabtu.
Pemain nombor 19 dunia itu mengalahkan pemain India Lakshya Sen lebih awal pada Jumaat.
Keputusan yang dicatat Loh pada Jumaat bermakna beliau paling tidak akan menyamai pencapaian terbaiknya di Kejohanan Terbuka Singapura.
Pemain berusia 28 tahun itu mara ke separuh akhir pada 2022 sebelum tumpas kepada Anthony Ginting dari Indonesia.
Sebelum pertemuannya dengan Chi, Loh terpaksa bekerja keras untuk menundukkan pemain India Srikanth Kidambi dan kemudian H S Prannoy pada pusingan 16 terakhir.
Kedua-dua perlawanan tersebut berlanjutan hingga ke set penentuan.
Loh merupakan satu-satunya wakil Singapura yang masih bersaing dalam kejohanan itu selepas Jason Teh, Yeo Jia Min serta pasangan beregu lelaki Wesley Koh dan Junsuke Kubo tersingkir pada pusingan pertama.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.