Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Loh Kean Yew mara ke peringkat akhir Kejohanan Terbuka India

Loh dijadual berdepan dengan Brian Yang dari Kanada, yang dilaporkan jatuh sakit.

Anggaran Waktu Membaca:
Loh Kean Yew mara ke peringkat akhir Kejohanan Terbuka India

Gambar: Facebook/Team Singapore

SINGAPURA: Pemain badminton Singapura Loh Kean Yew melayakkan diri ke peringkat akhir Kejohanan Terbuka India selepas pesaingnya menarik diri daripada perlawanan separuh akhir pada Sabtu (14 Jan).

Loh dijadual berdepan dengan Brian Yang dari Kanada yang dilaporkan jatuh sakit.

Beliau akan berdepan sama ada dengan Lakshya Sen dari India atau Ng Tze Yong dari Malaysia di peringkat akhir - bergantung kepada keputusan perlawanan separuh akhir mereka.

Kejohanan di New Delhi itu dilanda COVID-19, dengan sebilangan pemain menarik diri sejak beberapa hari lalu selepas diuji positif.

Dalam acara beregu campuran, pasangan pemain Singapura Terry Hee Yong Kai dan Tan Wei Han juga mara ke peringkat akhir selepas pesaing-pesaing mereka Rodion Alimov dan Alina Davletova dari Rusia - menarik diri daripada perlawanan peringkat separuh akhir mereka.

Salah seorang daripada mereka diuji positif COVID-19.

"Pemain itu diuji positif selepas menjalani ujian wajib RT-PCR pada Jumaat," umum Persekutuan Badminton Dunia dalam kenyataan medianya pada Sabtu, meskipun ia tidak mendedahkan identiti pemain yang terjangkit virus tersebut.

"Pasangan beregunya dikenal pasti sebagai kontak rapat dan sudahpun mengundurkan diri daripada kejohanan tersebut. Para pesaing mereka akan diberi kemenangan tanpa bertanding ke peringkat akhir."

Perlawanan beregu wanita juga menyaksikan kemenangan serupa.

Pasangan Ekaterina Malkova dan Anastasiia Shapovalova menarik diri daripada perlawanan separuh akhir menentang rakan-rakan senegara mereka, Anastasiia Akchurina and Olga Morozova, yang kini akan melangkah ke peringkat akhir.

Pada Jumaat, pemain badminton Singapura Yeo Jia Min menarik diri daripada perlawanan suku akhir selepas beliau mengalami "demam panas". Beliau bagaimanapun diuji negatif COVID-19 bagi ujian pantas antigen, menurut Persatuan Badminton Singapura (SBA).

Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan