Loh Kean Yew kalah kepada Alex Lanier, terlepas gelaran Kejohanan Badminton Terbuka SG
Penantian panjang untuk menyaksikan seorang pemain Singapura menjuarai perseorangan lelaki Kejohanan Badminton Terbuka Singapura berterusan selepas Loh Kean Yew kalah kepada pemain Perancis Alex Lanier dalam perlawanan akhir pada Ahad (31 Mei).
Loh Kean Yew dari Singapura memulangkan pukulan lawan. (Gambar fail: AFP/CN-STR)
Di Stadium Tertutup Singapura, Lanier yang menduduki tangga kesembilan dunia mengalahkan Loh 17-21, 21-15, 21-14. Kemenangan itu merupakan yang ketiga buat pemain berusia 21 tahun tersebut dalam empat pertemuan menentang Loh, yang berada di kedudukan ke-14 dunia.
Pemain lelaki Singapura terakhir yang menjuarai kejohanan di negara sendiri ialah Wee Choon Seng pada 1962, manakala Ronald Susilo kalah di peringkat akhir pada 2002. Beregu wanita Shinta Mulia Sari dan Yao Lei pula memenangi kejohanan itu pada 2010.
Ini merupakan kali pertama Loh layak ke perlawanan akhir kejohanan di negara sendiri. Sebelum edisi kali ini, pencapaian terbaiknya ialah apabila beliau berjaya mara ke separuh akhir pada 2022, sebelum kalah kepada pemain Indonesia Anthony Ginting.
Loh terpaksa bekerja keras untuk menempah tempat ke pusingan akhir tahun ini.
Beliau mencatat kemenangan tipis ke atas pemain India Srikanth Kidambi dan kemudian H S Prannoy dalam pusingan 16 terbaik, sebelum mengalahkan Chi Yu-jen. Ketiga-tiga perlawanan itu berlanjutan hingga ke set penentuan.
Beliau kemudian melayakkan diri ke pusingan akhir pada Ahad selepas mengalahkan pemain Jepun Koki Watanabe 21-15, 15-21, 21-9 pada Sabtu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.