Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Loh Kean Yew duduki tangga ke-5 dunia; jadi pemain lelaki S'pura di kedudukan terunggul

Anggaran Waktu Membaca:
Loh Kean Yew duduki tangga ke-5 dunia; jadi pemain lelaki S'pura di kedudukan terunggul

Pemain Singapura, Loh Kean Yew di perlawanan Badminton Terbuka Indonesia di Jakarta pada 16 Jun 2022. (Gambar: Dita Alangkara/AP)

Diterbitkan : 05 Oct 2022 04:17PM Dikemas Kini : 05 Oct 2022 04:18PM
SINGAPURA: Juara dunia badminton 2021, Loh Kean Yew kini menduduki lima tangga teratas ranking global buat julung-julung kalinya dalam kerjaya beliau, sekali gus menjadikan beliau pemain lelaki Singapura dengan ranking paling tinggi.

Dalam ranking terbaru Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang didedahkan pada Selasa (4 Okt), Loh naik dua tangga daripada tempat ketujuh sehingga kini menduduki tangga kelima.

Sebelum ini, pemain lelaki perseorangan Singapura di kedudukan paling unggul disandang oleh Ronald Susilo, yang ditempatkan di tangga keenam pada 2014.

Semasa ditemui Mediacorp, Loh berkata: "Sasaran saya adalah untuk memasuki 5 kedudukan teratas menjelang hujung tahun ini dan saya gembira dapat mencapai (sasaran) itu."

Loh turut menzahirkan harapan beliau untuk kekal konsisten dan terus bekerja keras untuk mencapai keputusan yang lebih baik.

Awal tahun ini, Loh menyertai 10 kedudukan teratas dunia selepas pasukan lelaki Singapura menggondol pingat gangsa semasa Kejohanan Berpasukan Badminton Asia (BATC) di Selangor, Malaysia.

Loh menduduki tempat ke-39 sebelum menyerlahkan satu demi satu pretasi luar biasa pada hujung 2021, yang sekali gus menaikkan kedudukannya pada tahun lalu.

Kemuncak aksi handal Loh adalah pada Disember apabila beliau mencatat sejarah sebagai rakyat Singapura pertama yang memenangi Kejohanan Dunia BWF 2021, bagi lelaki perseorangan.

Perlawanan tersebut juga menyaksikan Loh mengalahkan pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen, yang turut menarik perhatian seluruh dunia kepada Loh.
Namun, Loh tidak dapat mempertahankan mahkotanya tahun ini dan malangnya, tersingkir dalam peringkat suku akhir.
Di Sukan Asia Tenggara Mei lalu pula, Loh berjaya meraih pingat perak selepas kecundang 13-21, 13-21 di tangan Kunlavut Vitidsarn dari Thailand.

Perjalanan Loh dalam Badminton Terbuka Singapura pada Julai turut terhenti apabila beliau ditumpaskan oleh pemain Anthony Ginting dari Indonesia semasa peringkat separuh akhir.

Loh dijangka akan membuat penampilan di perlawanan Denmark Terbuka hujung bulan ini, di mana dia akan berdepan dengan pemain Sitthikom Thammasin dari Thailand dalam perlawanan pembukaannya.
Sumber : CNA/SS/ss

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa