Skip to main content

Sukan

Liverpool mula misi pertahan kejuaraan EPL menentang Bournemouth

Anggaran Waktu Membaca:
Liverpool mula misi pertahan kejuaraan EPL menentang Bournemouth

Gambar fail. (Gambar: REUTERS/Phil Noble/File Photo)

Diterbitkan : 19 Jun 2025 12:03AM
LONDON: Liverpool akan memulakan misinya untuk mempertahankan kejuaraan Liga Perdana England (EPL) musim 2025/2026 di Anfield apabila mereka melayan kunjungan Bournemouth pada 15 Ogos depan, menurut kenyataan rasmi penganjur liga, pada Rabu (18 Jun).

Arsenal selaku naib juara musim lalu pula akan membuka kempen dengan perlawanan getir menentang Manchester United di Old Trafford pada 17 Ogos.

Manchester City yang menamatkan saingan musim lalu di tempat ketiga, kini memburu kejuaraan liga ketujuh di bawah bimbingan Pep Guardiola. Pasukan itu dijadual berdepan Wolverhampton Wanderers di gelanggang lawan pada 16 Ogos.

Chelsea pula akan menerima kunjungan juara Piala FA, Crystal Palace, di Stamford Bridge pada 17 Ogos, sehari selepas Thomas Frank memulakan era baharunya selaku pengendali Tottenham Hotspur apabila Spurs menentang Burnley di laman sendiri.

Spurs sebelum ini memecat Ange Postecoglou selepas tamat di kedudukan yang hampir tercicir ke zon penyingkiran,
meskipun jurulatih dari Australia itu membantu kelab berkenaan menjulang gelaran Liga Europa - trofi utama pertama mereka dalam tempoh 17 tahun.

Kelab yang mencuri tumpuan musim lalu, Nottingham Forest, akan membuka tirai di laman sendiri menentang Brentford, manakala juara Piala Liga, Newcastle United, dijadual menentang Aston Villa di tempat lawan pada 16 Ogos.

Sementara itu, Sunderland akan melayan kunjungan West Ham United pada hari yang sama, manakala Leeds United pula akan bertemu Everton dua hari kemudian.

Musim 2025/2026 akan membuka tirainya secara rasmi dengan satu perlawanan pada 15 Ogos dan bakal melabuhkan tirai pada 24 Mei 2026.
 
Sumber : Agensi berita/SU/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita