Liverpool menang 2-1 ke atas Brighton untuk unggul di persada liga

(Gambar: AFP/PAUL ELLIS)
LONDON: Liverpool melakar kemenangan ke-20 selepas bangkit ketinggalan satu gol ketika melayan kunjungan Brighton dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris di Stadium Anfield pada Ahad (31 Mac).
Tiga mata diraih anak buah Jurgen Klopp membolehkan The Reds menambah kutipan mata ke angka 67 ketika saingan berbaki sembilan perlawanan, lapor Sinar Harian.
The Seagulls yang diaktifkan Roberto De Zerbi terlebih dulu bermula garang apabila menggegarkan gawang The Reds hasil jaringan bekas bintang Manchester United, Arsenal dan Watford, Danny Welbeck seawal minit kedua.
Gol pendahuluan pelawat itu tidak bertahan lama apabila Liverpool yang mula bangkit dari lamunan kembali menyamakan kedudukan menerusi sentuhan bintang Colombia, Luis Díaz dengan jaringan minit ke-27 bagi kedudukan 1-1 separuh masa pertama.
Separuh masa kedua, jentera depan Liverpool dan Brighton meningkatkan tekanan, namun ketumpulan penyudah menjadi penghalang.
Bagaimanapun Liverpool akhirnya berjaya menemui gol tiga mata apabila Mohamed Salah meledak jaringan kedua The Reds pada minit ke-65 untuk kedudukan kekal 2-1.
Arsenal sementara itu gagal menyamai prestasi Liverpool setelah terikat seri kosong sama dengan Manchester City.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.