Liverpool julang piala pertama musim ini

Gambar: AP
LONDON: Para pemain Liverpool menjulang trofi pertama musim ini selepas mengalahkan Chelsea dalam perebutan Piala Carabao di Stadium Wembley pada Ahad (25 Feb).
Jaringan gol tunggal Virgil van Dijk pada babak kedua masa tambahan sudah memadai untuk Liverpool mencipta rekod kejuaraan kali ke-10, sekali gus hadiah perpisahan bermakna buat pengurus pasukan, Jurgen Klopp.
Jurulatih dari Jerman itu sebelum ini sudah mengesahkan bahawa beliau akan meninggalkan Anfield pada hujung musim ini.
Lebih membanggakan Klopp apabila skuad yang menjulang Piala Carabao musim ini bukanlah yang terbaik kerana tidak menurunkan beberapa pemain utama akibat kecederaan.
Penjaga gawang Alisson Becker, penyerang Mohamed Salah, Trent Alexander -Arnold, Curtis Jones, Darwin Nunez dan Diogo Jota adalah antara pemain yang tidak turun padang.
Susulan itu pemain-pemain muda seperti Bobby Clark 19 tahun, James McConnell 19 tahun, Jayden Danns 18 tahun dan Jarell Quansah 21 tahun, dimasukkan ke dalam babak kedua perlawanan.
"Kelab ini dipenuhi dengan pemain akademi yang penuh karakter. Saya mempunyai keyakinan terhadap pemain-pemain muda ini kerana mereka sudah lama berlatih dengan skuad senior.
"Mereka tahu apa yang saya inginkan dan malam ini mereka berjaya melaksanakan tugas dengan baik," ujar Klopp.
Sementara itu, penyerang Cody Gakpo berkata dia dan rakan sepasukan berusaha untuk memenangi perlawanan akhir tersebut sebagai 'hadiah' perpisahan buat Klopp.
"Inilah hadiah perpisahan yang indah buat Klopp dan sudah tentu kemenangan ini menyuntik motivasi kami untuk meraih kejuaraan EPL (Liga Perdana England)," katanya.
Ketika ini, Liverpool berada di puncak EPL dengan 60 mata dan berpeluang merampas kejuaraan daripada juara bertahan, Manchester City yang menghimpit di tangga kedua dengan hanya dipisahkan satu mata.
Selain trofi EPL, Liverpool turut berpeluang menjulang trofi Piala FA apabila tampil di pusingan kelima menentang Southampton di padang sendiri pada Khamis ini.
"Sudah tentu ia pasti menjadi hadiah paling bermakna buat Klopp jika kami dapat tiga trofi musim ini," tambah Gakpo.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.