Liverpool benam Spurs 4-2

(Gambar: AFP/DARREN STAPLES)
LIVERPOOL: Liverpool kembali mempamerkan prestasi hebat dengan kemenangan 4-2 ke atas Tottenham Hotspur dalam perlawanan Liga Perdana England (EPL) pada Ahad (5 Mei).
Gol sumbangan Mohamed Salah, Andy Robertson, Cody Gakpo dan Harvey Eliott memastikan anak didik Juergen Klopp mengutip 3 mata penuh selepas memenangi hanya satu daripada lima perlawanan sebelum ini.
Walaupun secara matematik Liverpool masih berpeluang untuk menduduki tangga teratus, mereka ketinggalan lima mata di belakang pendahulu liga, Arsenal dan empat mata di belakang juara bertahan, Manchester City, yang mempunyai kelebihan satu perlawanan berbanding Liverpool dan Arsenal.
Penyerang handalan Liverpool, Salah, yang bertengkar dengan Klopp dalam perlawanan menentang West Ham minggu lalu, menanduk bola pada minit ke-16 untuk menjaringkan golnya yang ke-18 musim ini.
Andy Robertson kemudian menggandakan kelebihan Liverpool dengan menjaringkan gol kedua.
Cody Gakpo menanduk bola pada minit ke-50 hasil hantaran lintang Eliott, sebelum pemain tengah itu melepaskan rembatan kencang untuk menjaringkan gol keempat.
Richarlison dan Son Heung-min menjaringkan gol untuk membuat perlawanan itu lebih sengit, namun gagal mengutip mata bagi pasukan pimpinan Ange Postecoglou, yang kini menduduki tangga kelima liga.
Beberapa minggu lalu, Liverpool disebut-sebut sebagai pasukan favorit yang akan menjulang beberapa trofi pada musim terakhir Klopp selepas mereka memenangi Piala Liga dan antara pasukan yang bersaing untuk merebut mahkota EPL pada musim ini.
Malangnya, Liverpool tersingkir daripada Piala FA dan Liga Europa.
Hanya Liga Perdana England merupakan satu-satunya kejuaraan yang menjadi rebutan Liverpool sebelum pengurus warga Jerman itu meninggalkan kelab itu selepas sembilan tahun menerajui kelab tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.