Liverpool akan turun padang lawan Leicester City & Bayern Munich di Stadium Negara
SINGAPURA: Gergasi Liga Perdana England (EPL) Liverpool FC akan kembali ke Singapura untuk tahun kedua berturut-turut dan menentang Leicester City dan Bayern Munich dalam perlawanan persahabatan pramusim.
Pasukan The Reds berkunjung ke Singapura tahun lalu semasa menewaskan Crystal Palace 2-0 dalam edisi 2022 Piala Standard Chartered Singapura.
Liverpool akan berdepan dengan Leicester City pada pukul 5.00 petang pada 30 Julai dan kemudian Bayern Munich pada pukul 7.30 malam pada 2 Ogos.
Demikian menurut pihak penganjur TEG Sport pada Selasa (16 Mei).
Ini merupakan lawatan pertama Bayern Munich ke Singapura sejak 2017.
Sebelum ini, media tempatan melaporkan bahawa pasukan Tottenham Hotspur akan menentang AS Roma dalam satu perlawanan persahabatan di Singapura pada 26 Julai.
Liverpool, Bayern dan Tottenham akan mengadakan sesi latihan terbuka sepanjang tempoh ketiga-tiga pasukan itu berada di Singapura.
Spurs akan mengadakan sesi latihannya pada pukul 6.00 petang pada 25 Julai, manakala sesi latihan Liverpool pula pada pukul 8.30 malam pada 29 Julai.
Kedua-dua sesi latihan itu akan diadakan di Stadium Negara.
Sesi latihan bagi Bayern akan diadakan pada 1 Ogos, dengan tempat dan waktunya masih belum disahkan.
Tiket bagi perlawanan-perlawanan tersebut akan mula dijual pada pukul 10.00 pagi pada 22 Mei melalui Ticketek Singapore.
Acara bola sepak tersebut merupakan sebahagian daripada Festival Bola Sepak Singapura kendalian CDG Zig yang akan diadakan dari 26 Julai hingga 2 Ogos. Acara itu disokong oleh Lembaga Pelancongan Singapura (STB).
CEO TEG Sport, Geoff Jones berkata: "Festival Bola Sepak Singapura kendalian CDG menandakan masa yang menarik untuk peminat bola sepak di Singapura dan rantau ini.
Ketua Eksekutif STB Keith Tan menambah: "Kami teruja untuk meneruskan kejayaan perlawanan tahun lalu untuk menawarkan minggu bola sepak yang dibarisi oleh bintang-bintang bola sepak yang akan menarik para peminat dari seluruh rantau ini."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.