Skip to main content

Sukan

Lion City Sailors tumpas di tangan kelab UAE Sharjah, terlepas kejuaraan Liga Juara-Juara AFC 2

Impian pasukan kelab Singapura, Lion City Sailors musnah pada Ahad (18 Mei) selepas mereka dikalahkan pasukan Amiriah Arab Bersatu Sharjah dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).

Anggaran Waktu Membaca:
Lion City Sailors tumpas di tangan kelab UAE Sharjah, terlepas kejuaraan Liga Juara-Juara AFC 2

Maxime Lestienne dari Lion City Sailors melambungkan bola ke dalam kotak penalti Sharjah semasa perlawanan akhir Liga Juara-Juara AFC 2 di Stadium Bishan pada 18 Mei 2025. (Gambar: CNA/Matthew Mohan)

SINGAPURA: Impian pasukan kelab Singapura, Lion City Sailors musnah pada Ahad (18 Mei) selepas mereka dikalahkan pasukan Amiriah Arab Bersatu Sharjah dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).

Sharjah memenangi perlawanan itu 2-1 di Stadium Bishan yang penuh sesak, dengan gol daripada Marcus Meloni mengukuhkan kemenangannya.

Firas Ben Larbi sebelum itu meletakkan pasukan UAE di hadapan sebelum pemain Sailors Maxime Lestienne menyamakan kedudukan pada masa kecederaan.

Sailors mara ke perlawanan akhir itu selepas bertungkus lumus mengalahkan beberapa pasukan teratas, seperti Sanfrecce Hiroshima dari Jepun dan Sydney FC dari Australia.

Mereka telah dinobatkan sebagai juara Liga Perdana Singapura pada hari Sabtu dan masih berpeluang menggondol dua piala sekiranya mereka mengalahkan pasukan Brunei DPMM dalam perlawanan separuh akhir Piala Singapura.

Sharjah berada di tempat kedua dalam Liga Pro UAE. Mereka mengalahkan pasukan Liga Pro Saudi Al-Taawoun 2-1 secara agregat untuk menempah tempat dalam perlawanan penentuan Ahad ini.

Sebelum tiba di Singapura, Sharjah telah menyuarakan keraguan bahawa Stadium Negara Singapura mampu menampung perlawanan akhir itu. Namun, perlawanan itu kemudian dipindahkan ke Stadium Bishan kerana tarikh perlawanan itu bertembung dengan konsert Mayhem Lady Gaga pada 18, 19, 21 dan 24 Mei.

Pelbagai kerja-kerja penambahbaikan dilakukan seperti menambah jumlah kerusi penonton untuk meningkatkan kapasitinya lebih tiga kali ganda untuk menampung kira-kira 10,000 penonton.

Sailors menempah tempat ke perlawanan akhir itu selepas menewaskan Sydney FC Australia 2-1 dalam dua perlawanan. Dalam perlawanan suku akhir itu, pasukan Sailors mengalahkan Sanfrecce Hiroshima dengan agregat 4-1.

Harapan untuk mara ke peringkat selanjutnya pudar selepas Sailors kalah di tangan pasukan Jepun itu pada pusingan pertama perlawanan suku akhir dengan mata 6-1.

Tetapi keputusan itu dibatalkan, dan mereka dianugerahkan kemenangan 3-0 oleh badan bola sepak Asia, kerana Sanfrecce telah menurunkan pemain yang sepatutnya menjalani penggantungan tiga perlawanan.

Sailors kemudian mencatat keputusan seri 1-1 pada pusingan kedua perlawanan suku akhir di padang sendiri.

Dikenali sebagai Piala AFC sebelum ini, ACL2 ialah kejohanan bola sepak kelab Asia peringkat kedua dengan format yang diubah suai.

Kali terakhir sebuah pasukan Singapura mara ke peringkat kalah mati dalam pertandingan kelab AFC adalah pada 2018, apabila Home United, yang kini dikenali sebagai Lion City Sailors, mara ke pusingan separuh akhir antara zon dalam Piala AFC edisi 2018.
Sumber : CNA/KH/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita