Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Lion City Sailors gesa peringkat akhir ACL2 diadakan di SG

Kelab bola sepak Liga Perdana Singapura (SPL), Lion City Sailors, pada Sabtu (19 Apr) menggesa agar perlawanan akhir Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) diadakan di Stadium Jalan Besar, menyusuli permintaan rasmi oleh pihak lawan untuk mengadakan perlawanan tersebut di lokasi yang dianggap lebih sesuai.

Anggaran Waktu Membaca:
Lion City Sailors gesa peringkat akhir ACL2 diadakan di SG

Pemain sayap Belanda, Bart Ramselaar, meraikan jaringannya yang meletakkan Lion City Sailors di hadapan 1-0 menentang Sydney FC pada 9 April 2025. (Gambar: CNA/Matthew Mohan)

SINGAPURA: Kelab bola sepak Liga Perdana Singapura (SPL), Lion City Sailors, pada Sabtu (19 Apr) menggesa agar perlawanan akhir Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) diadakan di Stadium Jalan Besar, menyusuli permintaan rasmi oleh pihak lawan untuk mengadakan perlawanan tersebut di lokasi yang dianggap lebih sesuai.

Kelab dari Amiriah Arab Bersatu, Sharjah FC, menyuarakan kebimbangan terhadap stadium tersebut bagi perlawanan akhir pada 18 Mei, dengan menyatakan bahawa ia "tidak memenuhi aspirasi peminat dan pihak berkepentingan", serta menyebut saiz dan padang tiruan sebagai sebab.

Namun, Sailors mengeluarkan kenyataan pada Sabtu sebagai memberi respons, dengan berkata: “Perlawanan akhir ini mesti dimainkan di Singapura. Ini adalah tanah air kami, dan sebagai kelab yang telah memperoleh hak untuk menjadi tuan rumah perlawanan akhir, kami percaya bahawa adalah adil dan wajar ia diadakan di Singapura.”

Dalam satu catatan Facebook pada Khamis yang diterbitkan dalam bahasa Arab, Sharjah FC menyatakan bahawa pihaknya secara rasmi telah menghantar surat kepada Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC), melalui Persatuan Bola Sepak UAE, untuk meminta "penetapan stadium yang sesuai" bagi menjadi tuan rumah perlawanan akhir tersebut.

Sharjah menyatakan bahawa Stadium Jalan Besar, yang mempunyai 6,000 tempat duduk dan menggunakan padang tiruan, adalah “tidak sesuai” dari segi kapasiti dan kemudahan.

Kelab itu juga menekankan keupayaan dalam penganjuran serta kesediaan untuk menjadi tuan rumah perlawanan akhir “dengan cara yang sepadan dengan kepentingan pertandingan ini.”

Sebagai memberi respons, Sailors membalas: "Stadium Jalan Besar telah disahkan sebagai lokasi bagi ACL2 yang memenuhi peraturan dan keperluan AFC sepanjang pertandingan ini, dan telah berjaya menganjurkan enam perlawanan di padang sendiri dalam kejohanan ini sahaja."

Kelab itu menambah bahawa stadium tersebut mempunyai "sejarah yang membanggakan" dalam penganjuran perlawanan bola sepak utama.

Pada Rabu, Sailors mencipta sejarah apabila mengalahkan kelab Australia, Sydney FC, dengan agregat 2-1 untuk menjadi pasukan bola sepak pertama dari Singapura yang mara ke perlawanan akhir kejohanan di peringkat benua.

Menurut peraturan pertandingan AFC, giliran menjadi tuan rumah bagi perlawanan akhir ACL2 adalah secara "bergilir-gilir antara Rantau Barat dan Rantau Timur" setiap tahun.

Ini bermaksud perlawanan akhir sepatutnya diadakan di Singapura, tetapi lokasi sebenar masih belum diumumkan secara rasmi.

Selepas menyingkirkan lawan yang lebih menjadi pilihan dalam perjalanan ke perlawanan akhir, termasuk kelab Jepun Sanfrecce Hiroshima, Sailors menyatakan kelab itu telah membuktikan bahawa ia layak untuk menganjurkan perlawanan di tanah air.

"Menjadi tuan rumah perlawanan akhir di Singapura bukan sahaja akan menjadi penutup yang adil bagi kempen Liga Juara-Juara Dua kami, tetapi juga detik kebanggaan buat bola sepak Singapura di pentas benua," menurut Sailors.

"PEMANGKIN YANG SANGAT DIPERLUKAN" BOLA SEPAK TEMPATAN

Sailors menggesa AFC agar dalam “semangat keadilan dan konsistensi”, memberikan hak kepada kelab itu untuk menjadi tuan rumah perlawanan tersebut, yang boleh “menjadi pemangkin yang sangat diperlukan untuk menaikkan semula bola sepak tempatan dan menghidupkan semula rasa bangga terhadap sukan ini di peringkat kebangsaan.”

Kelab itu juga berjanji untuk menganjurkan perlawanan akhir yang "tidak dapat dilupakan dan dijalankan secara profesional, yang mencerminkan semangat dan potensi masyarakat bola sepak kami" sekiranya diberikan hak menjadi tuan rumah.

Ia turut menyatakan bahawa pihaknya sedang bekerjasama rapat dengan persekutuan serantau, Sport Singapore dan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) mengenai persiapan tempat untuk perlawanan akhir itu.

"Kami amat berterima kasih atas sokongan padu daripada Sport Singapore dan FAS, yang telah menunjukkan niat dan komitmen yang jelas untuk menjayakan perlawanan akhir ini di Singapura," tambah Sailors.

"Bersama-sama, kami berkongsi hasrat untuk menampilkan keupayaan negara dalam menganjurkan acara bola sepak bertaraf dunia."

Dahulunya dikenali sebagai Piala AFC, ACL2 ialah kejohanan bola sepak kelab Asia peringkat kedua dengan format baharu.
Sumber : CNA/IM/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan