Skip to main content

Sukan

Liga-M 2021 diharap berjalan lancar di tengah pandemik COVID-19

Saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2021 yang dijadual bermula pada 5 Mac, dilancarkan secara rasmi hari ini (1 Mac) dengan harapan baru serta visi dan misi lebih gemilang demi kemampanan industri bola sepak Malaysia.

Anggaran Waktu Membaca:
Liga-M 2021 diharap berjalan lancar di tengah pandemik COVID-19

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 01 Mar 2021 06:56PM Dikemas Kini : 01 Mar 2021 07:01PM

PUTRAJAYA: Saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2021 yang dijadual bermula pada 5 Mac, dilancarkan secara rasmi hari ini (1 Mac) dengan harapan baru serta visi dan misi lebih gemilang demi kemampanan industri bola sepak Malaysia.

Presiden Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) Encik Hamidin Mohd Amin berkata matlamat utama ialah memastikan kelangsungan industri sukan nombor satu itu di sebalik penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat dalam usaha berterusan mengekang penularan COVID-19.

Beliau turut berharap perjalanan Liga-M musim ini berjaya disempurnakan seperti dirancang selain dapat menarik masuk lebih banyak penajaan, sekali gus memanfaatkan pasukan bertanding yang tidak terkecuali terkesan impak pandemik itu.

“Kita perlu fokus mengenai COVID-19 di samping memastikan kelangsungan industri bola sepak tempatan dijalankan seperti kata Menteri Belia dan Sukan selepas ini kita akan cuba bawa secepat mungkin penyokong ke stadium secara beransur-ansur.

“Diharapkan juga saingan Liga Super dan Liga Premier diteruskan hingga ke Piala Malaysia dengan menjadi satu pertandingan yang kompetitif sebagai menyiapkan pasukan kebangsaan pada Jun nanti,” katanya di sidang media majlis pelancaran Liga-M 2021.

Majlis pelancaran itu disempurnakan Menteri Belia dan Sukan Reezal Merican Naina Merican.

Encik Reezal Merican dalam ucapannya percaya dengan persiapan rapi dan pematuhan SOP ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan MFL, saingan Liga-M 2021 bakal menjanjikan sesuatu yang luar biasa.

Katanya lagi, kebenaran khas untuk Liga-M berlangsung dan pasukan-pasukan untuk memulakan latihan atas dua dasar pertimbangan iaitu kerajaan memahami keperluan serta kelangsungan hidup semua yang terlibat dalam ekosistem bola sepak.

“...dan kedua, atas kepercayaan mereka (kerajaan) kepada disiplin komuniti sukan tanah air di mana keyakinan mereka kepada kita semua dalam industri bola sepak yang sangat berdisiplin dan pasti akan mematuhi SOP telah ditetapkan,” kata Encik Reezal Merican.

Musim Liga-M 2021 menyaksikan 23 pasukan, iaitu 12 pasukan Liga Super dan 11 Liga Premier merebut mahkota kejuaraan dan melibatkan keseluruhan 242 perlawanan.

Kempen Liga-M akan membuka tirai dengan pertembungan antara juara Liga Super 2020 Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dalam aksi Sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Jumaat ini.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita