Liga bola sepak Indonesia digantung susuli kematian penyokong
Liga bola sepak Indonesia digantung bagi tempoh masa yang tidak pasti oleh persatuan bola sepak negara itu selepas seorang penyokong Persija Jakarta mati dibunuh para penyokong pasukan Persib Bandung pada hujung minggu lalu, menurut laporan media tempatan.
JAKARTA: Liga bola sepak Indonesia digantung bagi tempoh masa yang tidak pasti oleh persatuan bola sepak negara itu selepas seorang penyokong Persija Jakarta mati dibunuh para penyokong pasukan Persib Bandung pada hujung minggu lalu, menurut laporan media tempatan.
Pengerusi Persatuan Bola Sepak Indonesia (PSSI) Edy Rahmayadi memberitahu Jakarta Post pada Selasa (25 Sep) bahawa siasatan sedang dijalankan terhadap kes kematian penyokong Persija, Haringga Sirila.
"Kita mesti pastikan diagnosisnya betul sebelum mengambil tindakan," tegas Rahmayadi.
"Kita ada peraturan, denda akan dikenakan, bermula dari yang ringan seperti teguran, hingga ke denda ataupun pembatalan."
Haringga, 23 tahun, dibelasah hingga mati oleh para penyokong tegar dekat Satadium Gelora Bandung Lautan Api sejurus sebelum perlawanan bermula pada Ahad lalu. Video pembunuhan tersebut yang tersebar online mencetuskan kemarahan rakyat Indonesia.
Menteri Belia dan Ehwal Sukan Indonesia Imam Nahrawi menyokong keputusan untuk menggantung Liga 1 bagi membolehkan siasatan dijalankan.
"Ini adalah tanda hormat kepada mangsa dan keluarganya. Ia juga peluang untuk kita bermuhasabah. Nyawa itu lebih berharga berbanding bola sepak," kata Nahrawi kepada agensi berita Antara.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.