Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Liga belia bawah 17 tahun, latih peninjau bakat antara pelan 'bina semula' bola sepak SG

Anggaran Waktu Membaca:
Liga belia bawah 17 tahun, latih peninjau bakat antara pelan 'bina semula' bola sepak SG

(Gambar: TODAY/Leonard Leong)

Diterbitkan : 26 May 2023 07:10PM Dikemas Kini : 26 May 2023 07:11PM
SINGAPURA: Liga baru bola sepak belia bawah 17 tahun dan kursus-kursus bagi melatih peninjau bakat didedahkan pada Khamis (25 Mei) bagi meningkatkan piawai bagi sukan tersebut di sini.

Ini meskipun sebilangan ibu bapa meluahkan rasa prihatin terhadap beban sebuah liga baru ke atas pemain muda.

Kedua-dua inisiatif itu akan dilancarkan menjelang tahun depan di bawah projek Unleash the Roar, iaitu pelan 2021 bagi mengenal pasti dan membangunkan bakat muda bola sepak di negara ini.

Ia diumumkan semasa rundingan awam pada lewat petang Khamis yang diadakan di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec Singapore.

Ibu bapa dan bekas pemain bola sepak kebangsaan yang menghadiri acara itu memberitahu TODAY bahawa inisiatif baru itu boleh membantu membangunkan pemain muda bola sepak.

Bagaimanapun, mereka mahukan penjelasan lanjut tentang bagaimana ia akan dijalankan, memandangkan adanya pelbagai liga dan pertandingan bagi kanak-kanak, seperti Sukan Sekolah Kebangsaan dan liga akademi swasta.

Salah seorang bapa bertanya sama ada liga baru itu akan mengambil lebih banyak masa dari komitmen lain anaknya, seperti bermain untuk pasukan sekolah dan akademiknya.

Acara berkenaan, yang dibuka kepada orang ramai yang mendaftar, dihadiri lebih 150 orang, termasuk jurulatih bola sepak, ibu bapa pemain muda bola sepak, bekas pemain bola sepak kebangsaan, penyokong dan wartawan.

Pucuk kepimpinan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) seperti pemangku presiden Bernard Tan dan setiausaha agung Yazeen Buhari turut hadir di acara itu.

Para peserta dibahagikan kepada 18 meja dan mengadakan perbincangan selama sejam bagi pelbagai topik melibatkan arena bola sepak Singapura.

Meskipun media tidak dibenarkan melaporkan kandungan perbincangan itu, dari pemerhatian TODAY, kumpulan-kumpulan berbeza itu terlibat dalam perbualan yang penuh bersemangat, sambil mengambil nota.

Para peserta juga memberitahu TODAY selepas acara tersebut bahawa mereka merasakan acara itu membantu sebagai langkah pertama untuk menangani kelesuan bola sepak tempatan, tetapi berharap perbincangan itu bertukar menjadi tindakan bagi masa depan.

'KEMBALI KEPADA ASAS'

Berucap di acara tersebut, pengerusi Unleash the Roar Eric Chua berkata beliau menerima komen bahawa sesi itu "dijalankan pada waktu yang kurang sesuai".

Ini memandangkan Singapura baru sahaja dibelasah 7-0 semasa Sukan Asia Tenggara (SEA) 2023 awal bulan ini di tangan negara jiran, Malaysia.

"Cara mudahnya adalah untuk menangguhkan sesi hari ini. Namun pada pendapat saya, itu bukanlah satu perbuatan yang wajar," kata Encik Chua, yang juga Setiausaha Parlimen Kanan Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia.

"Kempen Sukan SEA 2023 adalah sukar untuk diterima, tetapi inilah realiti keadaan yang kita hadapi bagi bola sepak tempatan hari ini, bahawa ekosistem bola sepak tempatan kita jauh lebih lemah berbanding dahulu."

Beliau menambah bahawa ini sebahagiannya disebabkan kesan perancangan bakat tempatan, yang mana langkah untuk mengenal pasti dan membangunkan bakat bola sepak "tidak lagi berkesan".

Encik Chua bagaimanapun tidak memberi perincian tentang apa yang menyebabkan kesan tersebut terhadap perancangan bakat itu.

Beliau berkata satu pilihan adalah untuk "duduk dan tidak berbuat apa-apa", manakala satu lagi pilihan adalah untuk "mengambil tindakan kukuh dan membangunkan semula bola sepak Singapura".

"Saya undi bagi pilihan kedua," ujar beliau. "Kita perlu kembali kepada asas, membangunkan semula akar umbi, memanfaatkan dan mengembangkan bakat belia kita supaya mereka dapat sekali lagi memiliki pasukan yang berdaya asing di peringkat serantau.

INISIATIF BARU DI BAWAH 'UNLEASH THE ROAR'

Encik Marcus Tan yang mengetuai kumpulan pembangunan sukan Sport Singapore, mendedahkan langkah-langkah yang akan dilaksanakan Unleash the Roar untuk bantu memperbanyakkan bakat bola sepak di negara ini.

Salah satunya adalah untuk mengadakan kursus meninjau bakat bagi jurulatih, bekas pemain dan orang awam.

Peninjau bakat yang dilatih itu kemudian akan dikerahkan ke sesi latihan bola sepak dan perlawanan untuk memastikan lebih ramai bakat dikenal pasti. FAS sudah memulakan kursus-kursus tersebut sejak Mac tahun ini.

Satu lagi inisiatif adalah "Liga Belia Singapura" dengan tiga kategori, iaitu bawah 17 tahun, bawah 15 tahun dan bawah 13 tahun.

Setiap liga mempunyai format tiga peringkat, dengan sistem promosi dan penyingkiran.

Liga tersebut bakal dilancarkan tahun depan, dan akan berlangsung di luar tempoh Sukan Sekolah Kebangsaan.

Inisiatif itu akan "menambah peluang permainan belia kami," kata Encik Tan.

Pertandingan itu akan berlangsung selama 28 minggu, dan peraturan baru akan diperkenalkan untuk memupuk pembangunan, seperti penggantian pemain tanpa had.

LEBIH BANYAK MAKLUMAT DIPERLUKAN, KATA IBU BAPA, BEKAS PEMAIN

Ibu bapa dan bekas pemain bola sepak kebangsaan yang ditemui TODAY berkata mereka mengalu-alukan langkah baru tersebut untuk memperbaiki usaha mencari bakat. Namun, terdapat segelintir yang mempersoalkan keberkesanannya serta mencadangkan penambah baikan.

Bekas pemain kebangsaan dan duta Unleash the Roar Rafi Ali berkata bahawa liga belia tidak hanya akan memberikan pemain muda lebih banyak peluang untuk beraksi, tetapi ia akan memperbaiki bakat mereka.

Dengan lebih banyak peluang permainan, isu-isu teknikal seperti kesedaran taktik dan keupayaan membuat hantaran boleh diperbaiki.

Namun, Encik Hari Dhayalan, seorang bapa kepada anak lelaki 10 tahun yang menyertai Program Unleash the Roar, berkata bahawa dia tidak pasti jika mengadakan lebih banyak pertandingan adalah langkah yang baik.

Ini kerana anaknya sedang bermain untuk pasukan sekolahnya serta akademi bola sepak privet.

Bagi kursus meninjau bakat, ibu bapa setuju bahawa ia adalah inisiatif yang bagus kerana ia membenarkan bakat bola sepak dibangunkan dengan keadaan yang sama merentasi akademi-akademi lain.

"Unleash the Roar dan MOE (Kementerian Pendidikan) perlu bekerjasama terhadap membangunkan kurikulum bola sepak asas pada CCA (Kegiatan Luar Darjah) mereka," kata Encik Gavin Choo.

Dia berkata bahawa cara tersebut akan membenarkan pencarian bakat dilakukan secara adil merentasi semua sekolah dan meningkatkan peluang untuk mengenal pasti bakat baru.

LAKUKAN APA YANG DIKATAKAN: PEMINAT, BEKAS PEMAIN

Peminat dan bekas pemain yang menghadiri kumpulan perbincangan itu berkata bahawa meskipun mereka berasa ragu-ragu
terhadap trajektori bola sepak Singapura baru-baru ini, acara itu memberi isyarat terdapat keinginan dari pihak berkuasa untuk memperbaiki keadaan.

Bagaimanapun, para peserta acara juga berharap bahawa langkah-langkah wajar diambil selepas maklum balas mereka dipertimbangkan.
Sumber : Today/IM/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan