Lewis Hamilton juarai Grand Prix Saudi; kutipan mata terikat dengan Verstappen jelang perlumbaan terakhir
Lewis Hamilton terus berpeluang memburu gelaran juara dunia kelapan selepas mencatatkan kemenangan yang mendebarkan di Grand Prix Arab Saudi pada Ahad (5 Dis).
Juara Lewis Hamilton (tengah) dan tempat ketiga Valtteri Bottas (kiri) meraikan kemenangan di podium selepas Grand Prix Arab Saudi Formula One di Jeddah pada 5 Dis 2021. (Gambar: Giuseppe CACACE / AFP)
JEDDAH: Lewis Hamilton terus berpeluang memburu gelaran juara dunia kelapan selepas mencatatkan kemenangan yang mendebarkan di Grand Prix Arab Saudi pada Ahad (5 Dis).
Keputusan berkenaan meletakkan juara dunia sebanyak tujuh kali itu pada 369.5 mata bersama dengan pesaing utamanya, Max Verstappen menjelang perlumbaan terakhir di Abu Dhabi pada hujung minggu ini.
Hamilton berada di belakang Verstappen hampir sepanjang perlumbaan sebanyak 50 pusingan itu, yang terpaksa dihentikan dua kali disebabkan oleh kemalangan dan beberapa kali diiringi kereta keselamatan serta kereta keselamatan maya.
Namun Hamilton, yang bahagian depan keretanya rosak akibat terlanggar bahagian belakang kereta lumpa Verstappen, bangkit memenangi perlumbaan kelapannya musim ini dan yang ke-103 sepanjang kerjayanya.
Kejuaraan akan ditentukan di Abu Dhabi dan jika masing-masing gagal mengutip mata, gelaran musim ini bakal jatuh ke tangan Verstappen yang sudahpun merangkul sembilan kemenangan.
"Saya sudah lama berlumba tetapi kali ini cukup sukar," kata Hamilton yang memperoleh mata tambahan kerana merakamkan pusingan terpantas.
Verstappen pula di tempat kedua, 11.825 saat di belakang Hamilton walaupun sudah dikenakan denda potong lima saat selepas berlanggar dengan pelumba Mercedes itu. Denda potong lagi 10 saat dikenakan ke atas Verstappen tetapi ia tidak memberi kesan kepada kedudukan perlumbaan.
"Saya hanya mahu berlumba dan sukan ini lebih kepada penalti berbanding berlumba. Bagi saya ia bukan Formula 1 tetapi sekurang-kurangnya saya menikmatinya, cuma tidak cukup pantas," ujar Verstappen.
Rakan sepasukan Hamilton, Valtteri Bottas, mengatasi pelumba Alpine Esteban Ocon untuk menduduki tempat ketiga yang memberikan Mercedes kelebihan 28 mata dalam kategori pasukan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.