Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Legenda bola sepak dunia, Pele meninggal dunia pada usia 82 tahun

Anggaran Waktu Membaca:
Legenda bola sepak dunia, Pele meninggal dunia pada usia 82 tahun

Gambar: AFP/Miguel Schincariol

Diterbitkan : 30 Dec 2022 07:05AM Dikemas Kini : 30 Dec 2022 07:08AM
SAO PAULO: Legenda bola sepak dunia dari Brazil, Pele, meninggal dunia pada usia 82 tahun.

Anak perempuannya memaklumkan tentang pemergian atlit paling terkenal dalam zaman moden itu menerusi catatan di Instagram.

Ucapan takziah berserta kata-kata sanjungan datang mencurah-curah termasuk daripada para bintang bola sepak serta tokoh-tokoh sukan yang lain, pemimpin dunia dan juga selebriti.


Hospital Albert Einstein di Sao Paulo, tempat di mana Pele menjalani rawatan menyatakan Pele meninggal dunia pada pukul 3.27 petang "disebabkan oleh pelbagai kegagalan organ akibat barah usus besar yang dikaitkan dengan keadaan kesihatannya sebelum ini".

Pele yang nama sebenarnya, Edson Arantes do Nascimento keluar masuk hospital sejak beberapa bulan kebelakangan ini kerana menghidap barah usus besar.

Jaguh bola sepak itu menjaringkan 1,281 gol dan merupakan satu-satunya pemain yang berjaya menjulang Piala Dunia sebanyak tiga kali.

Pele menarik perhatian dunia ketika baru berusia 17 tahun menerusi jaringan gol yang amat cantik semasa Brazil memenangi Piala Dunia buat kali pertama di Sweden pada tahun 1958.

Kemahiran Pele di padang bola serta keramahannya sebagai pemain serta duta bola sepak selama 70 tahun membantu menjadikan sukan itu paling popular di dunia.

Dilahirkan pada 23 Oktober 1940, di sebuah bandar kecil di Brazil, Pele belajar bermain bola sepak daripada ayahnya.

Beberapa aspek kehidupannya semasa belia, dikaitkan dengan mitos termasuk nama Pele sendiri.

Pele pernah berkata beliau dahulu sering bermain sebagai penjaga gawang dalam perlawanan-perlawanan di kawasan kejiranannya.

Kanak-kanak ketika itu sering membandingkannya dengan seorang pemain tempatan bernama "Bile".

Namun lama-kelamaan, sebutan itu berubah menjadi Pele.

Bagaimanapun, tidak lama kemudian Pele menarik minat para pencungkil bakat menerusi kelincahannya melakukan serangan ke gawang lawan.

Kehebatan Pele di padang diabadikan menerusi jersi nombor 10 yang dipakainya.
Sumber : Agensi berita/MU/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan