Legenda bola sepak Belanda Clarence Seedorf peluk Islam
Ucapan tahniah dan kesyukuran mencurah-curah sejurus selepas legenda bola sepak Belanda, Clarence Seedorf, mengumumkan beliau sudah mengucap dua kalimah syahadah.

Pengurus bola sepak persatusn Belanda, Clarence Seedorf, semasa satu sidang media di Dubai pada 1 Nov 2021. (Gambar: AFP)
AMSTERDAM: Ucapan tahniah dan kesyukuran mencurah-curah sejurus selepas legenda bola sepak Belanda, Clarence Seedorf, mengumumkan beliau sudah mengucap dua kalimah syahadah.
Antara personaliti yang dilihat mengucapkan tahniah adalah bekas pemain kebangsaan Perancis, Patrice Evra, yang pernah menyarung jersi Manchester United.
Melalui komen di media sosial Seedorf, Evra, 40 tahun, meninggalkan catatan: "Mashallah bro", menurut Malaysiakini menukil laporan-laporan.
Keputusan Seedorf memeluk Islam diumumkan bekas pemain berusia 45 tahun itu melalui media sosial semalam dan mendapat reaksi daripada orang ramai di seluruh dunia.
Beliau merupakan satu-satunya pemain bola sepak yang berjaya menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah sebanyak tiga kali melalui tiga kelab berbeza. Rekod itu sehingga kini gagal dipadamkan dan ditandingi termasuk Cristiano Ronaldo mahupun Lionel Messi.
"Terima kasih yang teristimewa untuk segala mesej yang indah bagi meraikan saya menyertai keluarga Muslim," kata Seedorf dalam catatan di media sosial berkenaan.
Difahamkan bekas pengurus AC Milan dan skuad kebangsaan Cameroon itu mempelajari selok-belok Islam daripada isterinya, Sophia Makramati.
Wanita berdarah Iran itu dilahirkan di Kanada.
Bagaimanapun tidak banyak maklumat diketahui mengenai Sophia.
Malah usianya saja tidak dapat disahkan, namun dianggarkan antara 35 hingga 43 tahun.
Tidak lama selepas Seedorf mengumumkan status agamanya, Sophia turut mengemas kini media sosialnya.
"Saya sangat bangga dan gembira untuk menjadi sebahagian daripada detik istimewa serta indah ini apabila cinta saya @clarenceseedorf menyertai keluarga Muslim.
"Selamat datang dan semoga anda terus diberkati dan menjadi inspirasi kepada dunia," ujar Sophia.
Sepanjang tempoh menjadi pemain bola sepak, Seedorf beraksi untuk skuad Belanda sebanyak 87 kali selain pernah beraksi sehingga ke peringkat separuh akhir Piala Dunia.
Di peringkat kelab pula aksinya banyak diingati sebagai pemain penting dalam skuad AC Milan, Real Madrid dan Ajax Amsterdam.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.