Lee Chong Wei kini bebas barah dan sedia beraksi bagi Olimpik 2020
Penyaki barah yang dihidapi Lee Chong Wei bukan penghalang kepada jaguh badminton Malaysia itu untuk meneruskan impiannya beraksi pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Gambar: Lee Chong Wei/Facebook
KUALA LUMPUR: Penyaki barah yang dihidapi Lee Chong Wei bukan penghalang kepada jaguh badminton Malaysia itu untuk meneruskan impiannya beraksi pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Setelah hampir empat bulan berehat selepas dikesan menghidap barah hidung tahap satu pada Julai lepas, Chong Wei tampil membuat kenyataan bahawa beliau bersedia menggalas cabaran negara dalam misi meraih slot ke Sukan Olimpik, yang bermula tahun depan.
Pemain berusia 36 tahun itu yang kelihatan sihat dan ceria berkata beliau lega apabila disahkan bebas barah oleh doktor selepas menjalani 33 kali rawatan di Taiwan.
“Terima kasih kepada semua peminat, keluarga dan persatuan yang sentiasa mendoakan kesihatan saya serta memberi sokongan dan semangat terutamanya ketika saya menghadapi ujian paling sukar dalam hidup apabila menghidap kanser.
“Penyakit ini bukan masalah kecederaan fizikal biasa dilalui atlit lain tetapi ia melibatkan kesihatan dalaman yang sangat digeruni sesiapa sahaja didapati menghidap kanser. Seperti orang lain, saya juga berasa hilang semangat, tidak selera makan dan tidak boleh tidur apabila tahu ada kanser,” katanya di sidang media khas di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, Kuala Lumpur hari ini (8 Nov).
Sepanjang 18 tahun pelibatan dalam arena badminton negara, ‘Hero Negara’ itu menempuh pelbagai dugaan dan cabaran antaranya apabila didapati positif menggunakan dadah jenis dexamethasone pada Oktober 2014, selain kecederaan fizikal yang pernah dialaminya.
Chong Wei berkata tiada istilah berputus asa dalam dirinya dan beliau sentiasa bersemangat mahu meneruskan kerjayanya dalam sukan badminton dan meraih kejayaan untuk negara.
“Saya akan kembali ke gelanggang sebaik sahaja mendapat kebenaran daripada doktor, mungkin pada Disember. Sekarang pun saya tetap berlatih sendiri di rumah. Saya terlalu sayangkan sukan badminton tetapi kini kesihatan adalah keutamaan saya.
“Saya tidak mahu berhenti lagi. Pingat emas Sukan Olimpik sentiasa menjadi impian saya, buat apa bertanding di Sukan Olimpik kalau mahu kalah, semua orang idamkan pingat emas Olimpik,” katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.