Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Lebih S$2 juta diberi kepada 121 pemenang pingat Team Singapore di Sukan SEA dan Asia

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih S$2 juta diberi kepada 121 pemenang pingat Team Singapore di Sukan SEA dan Asia

Ratu pecut Singapura Shanti Pereira (tengah) menerima anugerah tersebut di atas pentas, di samping Pemangku Presiden SNOC, Jessie Phua, Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Edwin Tong, Menteri Kanan dan Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara Teo Chee Hean dan CEO Tote Board Tan Choon Shian di majlis penyampaian Program Anugerah Sukan Utama (MAP) di Timbre+ One-North pada Rabu (29 Nov). (Gambar: SNOC/Kong Chong Yew)

Diterbitkan : 30 Nov 2023 07:54AM Dikemas Kini : 30 Nov 2023 08:01AM
SINGAPURA: Hampir S$2.3 juta diberikan kepada 121 pemenang pingat Sukan Asia dan Sukan SEA di majlis penyampaian Program Anugerah Sukan Utama (MAP) di Timbre+ One-North pada Rabu (29 Nov).

Ratu pecut Asia Shanti Pereira muncul sebagai pemenang terbesar dengan anugerah bernilai sebanyak S$315,000.

Shanti menerima jumlah wang itu atas kejayaannya meraih pingat emas dan perak semasa temasya Sukan Asia di Hangzhou, China, serta dua pingat emas semasa Sukan SEA di Kemboja.

Prestasinya sangat menyerlah di Sukan Asia di Hangzhou, di mana beliau memenangi perlumbaan akhir 200 meter wanita pada 2 Oktober.

Pingat emas bagi olahraga yang dimenanginya itu adalah yang pertama bagi Singapura sejak 1974.

Beberapa hari sebelum itu, Shanti menamatkan penantian Singapura selama hampir 50 tahun untuk meraih pingat bagi acara balapan di Sukan Asia, selepas beliau merangkul pingat perak dalam acara larian 100 meter wanita.

Beliau juga menjadi wanita pertama Singapura memenangi kedua-dua acara 100 meter dan 200 meter bagi edisi yang sama Sukan SEA pada Mei lalu.

Di Sukan Asia di Hangzhou, Singapura membawa pulang kutipan tiga pingat emas, enam pingat perak dan tujuh pingat gangsa. Ia juga menyaksikan enam rekod negara yang dicatat dan 14 pencapaian terbaik peribadi.

Dua pingat emas Singapura Asiad yang lain disumbang atlit sukan layar Ryan Lo dan atlit sukan luncur 'kite foil' Maximilian Maeder. Lo, yang juga merangkul pingat emas di Sukan SEA pada Mei lalu, sekali gus diberikan anugerah bernilai S$210,000.

Kontinjen seramai 554 atlit mewakili Singapura dalam 30 jenis sukan di Kemboja. Mereka membawa pulang 51 pingat emas, 43 perak dan 64 gangsa. Lapan rekod Sukan SEA, 17 rekod negara dan 40 rekod terbaik peribadi turut dicatat pada Mei.

Anugerah MAP memberi ganjaran kepada pemenang pingat Sukan SEA, Komanwel, Asia dan Olimpik. Ditaja oleh Tote Board, pemenang pingat Team Singapore menerima bayaran tunai berdasarkan prestasi yang dicatat di acara utama Sukan dan pingat yang dimenangi.

Ia adalah wajib bagi para atlit memberikan peratusan anugerah MAP mereka - 20 peratus untuk Sukan SEA dan Sukan Asia - kepada Persatuan Sukan Kebangsaan masing-masing untuk latihan dan pembangunan masa depan.
Sumber : CNA/LL/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan