Skip to main content

Sukan

Lebih 75% penyokong EPL tolak penggunaan VAR: Tinjauan

Lebih 75 peratus penyokong Liga Perdana England (EPL) tidak menyokong penggunaan berterusan Video Bantuan Pengadil (VAR), menurut tinjauan oleh sebuah kumpulan penyokong bola sepak.

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih 75% penyokong EPL tolak penggunaan VAR: Tinjauan

Sebuah skrin besar memaparkan mesej semakan VAR yang sedang dijalankan. (Gambar fail: REUTERS/Andrew Couldridge)

Diterbitkan : 30 Mar 2026 11:15PM Dikemas Kini : 30 Mar 2026 11:28PM
ENGLAND: Lebih 75 peratus penyokong Liga Perdana England (EPL) tidak menyokong penggunaan berterusan Penolong Pengadil Video (VAR), menurut tinjauan oleh sebuah kumpulan penyokong bola sepak.

Tinjauan itu dijalankan secara online antara 26 Februari hingga 23 Mac.

Ia melibatkan hampir 8,000 peminat kelab divisyen teratas, menurut Persatuan Penyokong Bola Sepak (FSA).

Hasil tinjauan menunjukkan 75.7 peratus tidak menyokong penggunaan VAR dalam bola sepak, dengan 91.7 peratus menyatakan bahawa VAR menghilangkan kegembiraan spontan ketika meraikan gol.

“Dapatan ini mengukuhkan hasil tinjauan FSA sebelum ini pada 2021, di mana para penyokong menyuarakan kebimbangan terhadap pelaksanaan VAR,” kata pengurus rangkaian Liga Perdana FSA, Thomas Concannon.

FSA sudah mengongsikan hasil tinjauan tersebut dengan EPL serta badan pengadil, Professional Game Match Officials Limited (PGMOL), dan berharap untuk membincangkan dapatan berkenaan, tambah beliau.

Sebagai maklum balas, Liga Perdana menyatakan VAR sudah membolehkan keputusan yang lebih tepat, dan kekal sebagai tidak begitu mengganggu berbanding perlawanan Eropah yang lain.

“Liga ini menetapkan ambang yang tinggi bagi campur tangan VAR, dengan keputusan pengadil di padang kekal diutamakan.

"Oleh itu, VAR kurang bersifat mengganggu dalam Liga Perdana berbanding liga Eropah lain, termasuk Liga Juara-Juara, di mana VAR campur tangan hampir seganda lebih kerap," kata jurucakap Liga Perdana dalam kenyataannya.

Tambahnya, usaha memperhalusi penggunaan VAR kekal menjadi tumpuan utama bagi liga tersebut dan PGMOL, dan pihaknya akan terus berinteraksi dengan pihak berkepentingan dalam usaha meningkatkan sistem tersebut.

“Sebagai sebahagian daripada dialog berterusan dengan para penyokong, kajian Liga Perdana menunjukkan penyokong secara umum bersetuju agar VAR dikekalkan, tetapi dengan peningkatan dari segi penggunaannya,” menurut kenyataan tersebut.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita