Lebih 200,000 sokong petisyen perlawanan akhir Piala Dunia 2022 diadakan semula

(Gambar: Franck Fife/AFP)
PARIS: Lebih 200,000 peminat dan penyokong Perancis menandatangani petisyen yang dilancarkan 'France4Ever' agar perlawanan akhir Piala Dunia 2022 antara Perancis dan Argentina diadakan semula.
Argentina dinobatkan sebagai pemenang minggu lalu, menewaskan Perancis menerusi penentuan sepakan penalti selepas seri 3-3 dalam perlawanan yang mendebarkan.
Kylian Mbappe menjadi pemain pertama menjaringkan hatrik dalam perlawanan akhir Piala Dunia sejak Geoff Hurst pada 1966 tetapi ia tidak cukup untuk menghalang Argentina daripada menjulang trofi breprestij itu, lapor Daily Star.
Ketika Argentina masih meraikan kejayaan mereka, sebuah laman web di Perancis, MesOpinions mendesak agar perlawanan semula diadakan.
Alasan utama adalah gol pembukaan Messi menerusi sepakan penalti selepas Ousmane Dembele mengasari Angel Di Maria pada separuh masa pertama.
Mereka yang mahukan perlawanan semula menegaskan pengadil, Szymon Marciniak tersilap menghadiahkan sepakan penalti itu, malah mendakwa Mbappe dikasari sebelum gol kedua Argentina dijaringkan oleh Angel Di Maria.
Walaupun Perancis bangkit hasil jaringan berganda Mbappe, Kingsley Coman dan Aurélien Tchouaméni gagal menyempurnakan sepakan mereka dalam penentuan penalti, sekali gus menobatkan Argentina sebagai juara buat kali ketiga.
Sebilangan peminat Perancis juga merasakan bahawa gol Messi pada masa tambahan sepatutnya dibatalkan kerana terdapat pemain yang masuk ke dalam padang sebelum bola menerjah gawang.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.