Skip to main content

Sukan

Kylian Mbappe bakal derma AS$500,000 pendapatan Piala Dunia kepada badan amal

Mbappe ialah pemain bola sepak kedua termahal selepas Neymar pada nilai €180 juta (S$286 juta).

Anggaran Waktu Membaca:
Kylian Mbappe bakal derma AS$500,000 pendapatan Piala Dunia kepada badan amal

Kylian Mbappe mencium trofi Piala Dunia. (Gambar: Franck Fife/AFP)

Diterbitkan : 18 Jul 2018 01:09PM Dikemas Kini : 18 Jul 2018 01:14PM

PARIS: Bintang bola sepak remaja Perancis, Kylian Mbappe, bakal mendermakan seluruh hasil pendapatannya daripada Piala Dunia kepada sebuah badan amal yang menganjurkan acara-acara sukan bagi kanak-kanak kurang upaya, menurut laporan dari Perancis.

Remaja berusia 19 tahun itu dilaporkan meraih kira-kira AS$22,300 (S$30,446) bagi setiap perlawanan dalam pertandingan itu dan tambahan AS$350,000 (S$477,855) kerana membantu negaranya menjulang trofi Piala Dunia pada Ahad (15 Jul).

Penampilan beliau sebanyak tujuh kali dalam pertandingan sebulan itu bermakna jumlah pendapatannya adalah sekitar AS$500,000 (S$682,650) yang beliau merancang untuk mendermakan kepada Premiers de Cordee, sebuah persatuan yang menganjurkan acara-acara sukan bagi kanak-kanak kurang upaya.

Menurut akhbar Perancis L'Equipe, Mbappe ialah penaung persatuan itu.

Pengurus besar Premiers de Cordee, Sebatien Ruffin, menyifatkan Mbappe sebagai "orang yang sangat hebat" dalam wawancara bersama Le Parisien.

"Apabila jadualnya mengizinkan, beliau dengan senang hati meluangkan masa dengan kami. Beliau mempunyai hubungan yang sangat baik dengan kanak-kanak, beliau selalu menggunakan kata-kata yang sesuai untuk mendorong mereka.

"Kadang kala saya rasa beliau lebih seronok bermain dengan kanak-kanak itu daripada kanak-kanak itu sendiri," kata Encik Ruffin.

Mbappe digelar pemain muda terbaik Piala Dunia 2018 setelah beliau menjaringkan empat gol dalam pertandingan itu, termasuk satu gol dalam perlawanan akhir menentang Croatia. Gol tersebut menjadikan Mbappe remaja pertama menjaringkan gol di peringkat akhir Piala Dunia sejak Pele pada 1958.

Mbappe ialah pemain bola sepak kedua termahal selepas Neymar pada nilai €180 juta (S$286 juta).

Pemain Paris Saint-Germain itu dilahirkan dan dibesarkan di pinggir bandar Paris yang miskin, Bondy.

Sumber : CNA/KN/kn
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita