Kumpulan hak asasi usul boikot, haramkan Israel dari Piala Dunia FIFA 2026
Pertubuhan-pertubuhan hak asasi dan kumpulan-kumpulan penyokong serta peminat bola sepak menggesa persekutuan bola sepak Eropah memboikot Israel melalui papan iklan di Times Square, New York pada Selasa (16 Sep), sekali gus melancarkan kempen #GameOverIsrael beberapa bulan menjelang Piala Dunia FIFA 2026.
Papan iklan di Times Square, New York memaparkan mesej kempen #GameOverIsrael yang menggesa persekutuan bola sepak Eropah dan dunia untuk memboikot Israel atas serangan berterusannya di Gaza. (Gambar: REUTERS/Jeenah Moon)
New York akan menjadi tuan rumah lapan perlawanan Piala Dunia FIFA 2026, termasuk perlawanan akhir.
Kanada dan Mexico menjadi tuan rumah bersama pertandingan antarabangsa setiap empat tahun itu dengan Amerika Syarikat.
Kempen itu menggesa persekutuan bola sepak di Belgium, England, Perancis, Greece, Ireland, Itali, Norway, Scotland, dan Sepanyol untuk memboikot pasukan bola sepak Israel dan mengharamkan pemain Israel daripada bermain dalam pertandingan domestik, sambil merujuk kepada serangan berterusan Israel di Gaza.
Ketika dihubungi untuk mendapatkan komen, Persatuan Bola Sepak Israel menyatakan dalam satu kenyataan: "Bilakah kumpulan-kumpulan tegar di sebalik seruan menyedihkan ini menganggapnya wajar untuk mengutuk pembunuhan beramai-ramai pada 7 Oktober, menyeru pembebasan tebusan Israel yang menderita dalam terowong kumpulan Hamas selama dua tahun dalam keadaan tidak berperikemanusiaan, atau bertanggungjawab terhadap sesuatu yang memualkan seperti itu?"
Reuters tidak dapat menghubungi FIFA dan UEFA untuk mendapatkan komen.
"Ketika Amerika Syarikat bersiap sedia untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia FIFA pada 2026, rakyat Amerika tidak boleh membenarkan stadium kita menjadi platform untuk menafikan berlaku jenayah perang," kata Pengarah Eksekutif Kebangsaan Jawatankuasa Anti Diskriminasi Amerika-Arab (ADC) Abed Ayoub dalam satu kenyataan.
ADC melancarkan inisiatif #GameOverIsrael dengan beberapa rakan kongsi Eropah.
“Kami berdiri teguh bersama rakan-rakan sejawatan kami di Eropah dan menuntut setiap badan induk bola sepak mengambil tindakan segera dan tegas untuk menghalang Israel daripada menyertai pertandingan antarabangsa,” kata Encik Ayoub. "Dunia mesti memberitahu Israel bahawa tipu muslihat mereka sudah berakhir, dan tidak ada ruang dalam sukan untuk penjenayah perang."
Suruhanjaya Siasatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyimpulkan buat pertama kali pada Selasa bahawa Israel telah melakukan pembunuhan beramai-ramai atau genosid di Gaza. Para pegawai Israel menolak laporan itu, dengan Duta Israel ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyifatkannya sebagai satu "skandal" dan "palsu".
Papan iklan itu, yang ditempatkan berhampiran persimpangan antara Broadway dan West 43rd Street, mengandungi perkataan "genosid", yang menurut ADC hanya diluluskan oleh syarikat papan iklan itu selepas ia melihat teks laporan Suruhanjaya PBB.
Israel kini menduduki tangga ketiga dalam kumpulan kelayakan Piala Dunia mereka, di belakang Norway dan Itali. Pasukan-pasukan yang mendahului 12 kumpulan kelayakan UEFA mendapat kemasukan terus ke Piala Dunia FIFA 2026.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.