Krisis kepimpinan FIFA: Suara wanita semakin lantang menentang Infantino
Sedang Presiden FIFA Gianni Infantino berdepan antara cabaran terbesar sepanjang sedekad menerajui badan induk bola sepak dunia itu, dua wanita muncul sebagai antara suara paling lantang menentang kepimpinannya.
Presiden FIFA Gianni Infantino berucap semasa Kongres Biasa UEFA ke-50 di Brussels, Belgium, pada 12 Februari 2026. (Gambar: REUTERS/Benoit Tessier)
Laura McAllister dari Wales dan Lise Klaveness dari Norway, dua anggota wanita tunggal dalam Jawatankuasa Eksekutif Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA), tampil mengkritik Encik Infantino di tengah-tengah krisis tadbir urus FIFA.
Krisis itu tercetus selepas usaha Encik Infantino untuk meneruskan satu usaha niaga yang disokong firma ekuiti swasta, FIFA Football Enterprises (FFE), gagal mendapat sokongan.
Tentangan tersebut turut mencetuskan perbincangan sama ada sudah tiba masanya seorang wanita menerajui FIFA.
"Alangkah baiknya jika seorang wanita dipilih sebagai presiden FIFA," kata Cik McAllister, yang juga Naib Presiden UEFA, kepada Reuters.
Namun, beliau mengakui landskap politik dalam FIFA menjadikan perkara itu lebih rumit.
Perbahasan tersebut semakin mendapat perhatian selepas mantan Presiden FIFA Sepp Blatter pada Selasa (4 Ogos) memuji Cik Klaveness dan berkata sudah tiba masanya seorang wanita menerajui badan itu.
KRISIS TADBIR URUS
Rancangan FFE Encik Infantino gagal diteruskan selepas mendapat tentangan hebat daripada UEFA dan badan-badan bola sepak serantau lain.
Wales menjadi antara persatuan bola sepak pertama yang menarik balik sokongan terhadap pemilihan semula Encik Infantino, sebelum tentangan semakin meluas dalam FIFA.
Cik McAllister sebelum ini turut mengusulkan pemulauan acara FIFA, yang mendapat sokongan sebulat suara dalam mesyuarat tergempar UEFA minggu lalu.
Menurutnya, pergolakan itu menunjukkan masalah lebih mendalam dalam tadbir urus FIFA.
"Terdapat tanda-tanda bahawa isu ini sudah menghampiri tahap krisis, jika ia belum lagi berada pada tahap itu," katanya.
Beliau turut merujuk beberapa kontroversi yang menurutnya menjejas keyakinan terhadap kepimpinan Encik Infantino.
Cik McAllister berkata beliau dan Cik Klaveness mahu mempertahankan nilai-nilai asas bola sepak dan memastikan sukan itu kekal untuk semua, daripada peringkat akar umbi hingga elit.
Daripada 211 persatuan anggota FIFA, hanya 10 kini dipimpin presiden wanita, termasuk Cik Klaveness.
Namun, Cik McAllister berkata usaha membuka laluan kepada kepimpinan wanita perlu dilakukan secara berperingkat dan tidak dipaksa.
Mantan Pengarah Pemasaran Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) Michael Payne pula berkata struktur tadbir urus bola sepak sejak sekian lama ketinggalan berbanding sukan lain dalam meningkatkan penyertaan wanita dalam kepimpinan.
IOC kini dipimpin seorang wanita, Kirsty Coventry.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.