Konfederasi Sepaktakraw M'sia sah jadi ahli gabungan ASTAF
Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) boleh dianggap sudah 'berkubur' selepas pintu untuk badan induk itu kembali diterima menjadi ahli gabungan Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) kini tertutup rapat.
Mesyuarat ggung pertama Konfederasi Sepaktakraw Malaysia (MSC) pada 19 Feb 2022. (Gambar: Konfederasi Sepaktakraw Malaysia/Facebook)
KUALA LUMPUR: Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) boleh dianggap sudah 'berkubur' selepas pintu untuk badan induk itu kembali diterima menjadi ahli gabungan Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) kini tertutup rapat.
Ini selepas ASTAF mengesahkan Konfederasi Sepaktakraw Malaysia (MSC) yang baru ditubuhkan diterima untuk menjadi ahli gabungan yang baru berkuat kuasa Sabtu (5 Mac), lapor BH Online.
Pengiktirafan itu diberikan menerusi satu sijil yang ditandatangani oleh Presiden ASTAF, Abdul Halim Kader dari Singapura dan Setiausaha Agungnya Boonchai Lorhpipat dari Thailand.
Encik Abdul Halim, ketika dihubungi bagi mengulas mengenai perkara berkenaan, berkata keputusan untuk menerima MSC sebagai anggota baru diputuskan sebulat suara dalam mesyuarat Eksekutif ASTAF yang berlangsung semalam.
"ASTAF sudah meneliti dua permohonan untuk menjadi anggotanya iaitu satu daripada PSM dan satu lagi daripada MSC. Selepas kami menilai kedua-dua permohonan berkenaan, ASTAF mengambil keputusan untuk menerima MSC sebagai anggotanya mulai hari ini," kata beliau.
MSC diterajui oleh Suhaili Abdul Rahman sebagai presiden manakala PSM, yang mengadakan pemilihan pucuk pimpinan baru, bulan lalu menyaksikan Mohd Sumali Reduan mengambil alih kerusi nombor satu badan induk itu.
Ketika ditanya perwajaran keputusan tidak menerima kembali PSM sebagai ahli gabungan ASTAF, Encik Abdul Halim berkata pihaknya sudah serik dengan badan induk berkenaan dan tidak mahu 'pisang berbuah dua kali'.
"Sudah tentu masalah yang tidak habis-habis ditimbulkan PSM turut diambil kira dalam keputusan ini. Kami berpandangan, adalah lebih baik untuk memberi peluang kepada kepimpinan baru (MSC) untuk meneruskan cita rasa peminat sepak takraw di Malaysia.
"Saya beri jaminan, ASTAF akan memberi sokongan kepada MSC bagi pembangunan sepak takraw di Malaysia. Kami juga tidak akan meluputkan sejarah sepak takraw selama 60 tahun di Tanah Melayu dan Malaysia yang mana saya turut terbabit," katanya seperti ditukil BH Online.
Beliau turut memaklumkan dalam perlembagaan ASTAF, badan induk itu hanya boleh menerima satu persatuan kebangsaan bagi setiap negara.
Pada 20 Mei tahun lalu, Jawatankuasa Disiplin ASTAF menyingkirkan PSM sebagai ahli gabungan selepas didapati bersalah berikutan tindakan Presiden PSM ketika itu, Ahmad Ismail, atas kapasitinya selaku Timbalan Presiden ASTAF, menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) pada Februari.
Tindakan itu melanggar perjanjian untuk mematuhi segala objektif dan perlembagaan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) dan ASTAF seperti yang dimeterai pada 14 Mac 2008.
Menyusuli kemelut yang melanda PSM, enam bekas ahli gabungan badan induk itu memutuskan untuk menubuhkan entiti baru dikenali sebagai MSC dan mendapat kelulusan Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) pada bulan lalu.
Enam ahli gabungan yang menjadi tunggak penubuhan MSC adalah Persatuan Sepak Takraw Selangor, Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Putrajaya, Persatuan Sepak Takraw Sarawak, Persatuan Sepak Takraw Perlis, Persatuan Sepak Takraw Negeri Kedah dan Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Labuan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.