Skip to main content

Sukan

Klopp janji Liverpool akan bangkit semula selepas tewas kepada Real Madrid

Jurgen Klopp mengakui bahawa barisan pemain Liverpool terluka selepas tewas kepada Real Madrid dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pada awal pagi tadi (29 Mei) tetapi mengisytiharkan The Reds akan bangkit semula selepas kekalahan tipis di Paris itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Klopp janji Liverpool akan bangkit semula selepas tewas kepada Real Madrid

Jurgen Klopp. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 29 May 2022 04:54PM
PARIS: Jurgen Klopp mengakui bahawa barisan pemain Liverpool terluka selepas tewas kepada Real Madrid dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pada awal pagi tadi (29 Mei) tetapi mengisytiharkan The Reds akan bangkit semula selepas kekalahan tipis di Paris itu.

Klopp turut menambah bahawa tiket perlawanan akhir di Istanbul musim depan sudah menjadi sasaran Liverpool sambil menyarankan supaya para penyokong pasukan itu: "Tempah tiket hotel!"

Kekalahan tipis 0-1 kepada Madrid di Stade de France bermakna Liverpool menamatkan musim dengan julangan trofi Piala FA dan Piala Liga Perdanas (EPL) walaupun berpeluang untuk mencabar kesemua empat gelaran pada musim ini.

Manchester City menafikan mereka daripada memenangi gelaran Liga Perdana England (EPL) dalam perlawanan terakhir penuh dramatik hujung minggu lalu dan yang terbaru, jaringan tunggal Vinicius Junior dalam babak kedua menafikan mereka daripada memenangi Liga Juara-Juara Eropah pada musim ini.

"Semua orang dalam bilik persalinan, tiada siapa yang merasakan ia satu musim yang hebat," kata Klopp kepada BT Sport selepas kekalahan itu.

"Kami mungkin memerlukan beberapa minit (untuk menerima hakikat ini), mungkin beberapa jam."

Klopp menambah, Liverpool telah memberikan segala-galanya selepas dia memberitahu para pemainnya supaya lebih berani dalam babak kedua.

Vinicius menjaringkan gol tunggal menjelang sejam permainan dan Liverpool berhempas pulas mencari gol penyamaan tetapi nasib tidak menyebelahi mereka, dengan mana Madrid menafikan percubaan Sadio Mane dan Mohamed Salah menerusi aksi cemerlang penjaga golnya, Thibaut Courtois, sebagai benteng terakhir.

Penjaga gawang Belgium itu melakukan sembilan aksi menyelamatkan percubaan gol, rekod paling tinggi dilakukan oleh seorang penjaga gol dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah sejak musim 2003-2004.

Klopp menambah, pada ketika ini, hanya dia sahaja daripada keseluruhan kontinjen Liverpool dapat melihat perlawanan itu daripada perspektif berbeza.

"Ia tidak sukar, saya sudah dapat menerimanya tetapi hanya saya seorang dalam bilik persalinan kami seperti ini.

"Saya tahu ini bukan kejayaan yang anda mahukan tetapi saya ada perasaan yang kuat bahawa kami akan kembali sekali lagi. Itulah yang akan berlaku kerana pemain kami amat kompetitif.

"Kami mempunyai pemain yang luar biasa dan akan mempunyai satu lagi pasukan yang kuat musim depan.

"Kemudian, kami akan melakukannya sekali lagi. Kami mungkin perlu mencubanya lebih banyak berbanding pasukan lain tetapi ia bukan satu masalah.

"Di mana (perlawanan akhir) tahun depan? Istanbul? Sila tempah hotel," katanya lagi.
Sumber : Agensi berita/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita