Ketua jurulatih pasukan Singa Tsutomu Ogura letak jawatan
Tsutomu Ogura meletak jawatan sebagai ketua jurulatih pasukan bola sepak kebangsaan Singapura atas sebab peribadi, umum Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) pada Selasa (24 Jun).
Ogura memaklumkan FAS tentang keputusannya beberapa minggu lalu kerana perlu pulang ke Jepun atas "urusan peribadi yang mendedak".
"Sejak itu, Jawatankuasa Eksekutif FAS sudah berunding dengan Encik Ogura untuk menimbangkan pelbagai cara bagi memudahkan beliau untuk meneruskan khidmatnya," kata FAS.
"Sekalipun terdapat usaha kolektif dan keinginan bersama untuk mengekalkan hubungan kerja, sifat isu peribadi akhirnya menyebabkan beliau tidak dapat meneruskan tugasnya."
FAS melantik bekas ketua jurulatih BG Tampines Rovers Gavin Lee sebagai pengganti buat sementara waktu.
Pencarian ketua jurulatih tetap baharu "yang memiliki visi, kepakaran, dan mutu kepimpinan untuk meningkatkan tahap bola sepak Singapura ke peringkat seterusnya" sedang giat dijalankan, kata FAS.
"FAS menghormati keputusan Encik Ogura dan menyampaikan penghargaan ikhlas atas sikap profesionalisme, komitmen dan sumbangan beliau kepada bola sepak Singapura semasa beliau menerajui pasukan negara," kata FAS.
"Kami mendoakan semoga beliau dan keluarganya berjaya dalam usaha masa depan mereka."
Ogura meninggalkan pasukan Singa selepas menang baru-baru ini ke atas Bangladesh dalam Piala Asia dan Maldives dalam perlawanan persahabatan antarabangsa.
Beliau adalah bekas penolong jurulatih pasukan kebangsaan Jepun dan merupakan ketua jurulatih Jepun ketiga berturut-turut bagi pasukan Singapura, menggantikan Takayuki Nishigaya pada Februari 2024.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.