Skip to main content

Sukan

Keputusan Ozil sorot perhatian kepada hubungan Jerman dengan masyarakat Turki

Selepas persembahan teruk dalam Piala Dunia 2018, Mesut Ozil menjadi sasaran media sehingga beliau membuat keputusan mengejut untuk tidak lagi mewakili negaranya.

Anggaran Waktu Membaca:
Keputusan Ozil sorot perhatian kepada hubungan Jerman dengan masyarakat Turki

Gambar fail Mesut Ozil sebelum perlawanan Piala Dunia antara pasukan Jerman dengan Sweden. (Gambar: Michael Dalder/ Reuters)

Diterbitkan : 24 Jul 2018 09:45AM Dikemas Kini : 24 Jul 2018 09:52AM

BERLIN: Selepas persembahan teruk dalam Piala Dunia 2018, Mesut Ozil menjadi sasaran media sehingga beliau membuat keputusan mengejut untuk tidak lagi mewakili negaranya.

Sebelum ini, Ozil sudah mewakili negaranya sebanyak 92 kali dan menjaringkan 23 gol bagi membawa pasukannya menjulang piala paling berprestij di dunia.

Ozil tidak hanya dikecam dan dilayan buruk oleh pihak media dan penyokongnya, tetapi juga pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Jerman (DFB) dan presiden persatuan itu, Reinhard Grindel.

Tidak itu sahaja, pemain berketurunan Turki itu turut menerima kebencian daripada sikap perkauman para pengkritik.

Selepas titik hitam dalam hidupnya, Ozil mengeluarkan kenyataan paling berkesan daripada seorang ahli sukan selain Mohammad Ali yang pernah enggan direkrut menyertai perang Vietnam.

"Di mata Grindel dan penyokongnya, saya orang Jerman apabila pasukan kami menang, tapi saya pendatang bila kami kalah," kata pemain berusia 29 tahun itu.

BERGAMBAR DENGAN ERDOGAN SEBAGAI TANDA HORMAT

Ozil merujuk kepada perbahasan politik di negara itu di mana terdapat 1.6 juta pendatang sejak pertengahan 2014. Isu ini menjadi modal utama kempen politik yang membangkang dasar Jerman berhubung isu berkenaan.

Ozil dan rakan sepasukannya, Ilkay Gundogan, yang juga berketurunan Turki dikecam penyokong Jerman dalam perlawanan persahabatan menjelang Piala Dunia di Rusia sebelum ini.

Related article image
(Gambar: Kayhan Ozer/ Reuters)

(Gambar: Kayhan Ozer/ Reuters)

Kecaman itu dibuat ke atas Ozil dan Gundogan kerana mengunjungi Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan pada Mei lalu.

Mengulas gambarnya dengan Erdogan dalam pertemuan itu, Ozil berkata ia bukanlah dibuat atas dasar politik atau pilihan raya namun sebagai menghormati pemimpin negara asal keluarganya.

"Seperti ramai orang, keturunan keluarga saya berasal lebih daripada satu negara. Ketika membesar di Jerman, latar belakang keluarga saya masih mempunyai akar yang kuat di Turki.

"Saya ada seorang berjiwa rakyat Jerman dan Turki," katanya.

'ADAKAH SEBAB SAYA MUSLIM?'

Ayah Ozil, Mustafa yang berkongsi kekecewaan Ozil turut menyifatkan tindakan Ozil bergambar dengan Presiden Erdogan adalah atas dasar berbudi bahasa.

"Ozil seorang yang pendiam dan pemalu, bagaimana beliau boleh menolak permintaan seseorang seperti Erdogan untuk bergambar dengannya?" kata Mustafa.

Dalam pada itu, dalam kenyataannya, Ozil menyorot sikap perkauman yang tetap diterimanya meskipun dengan segala sumbangan dan jasanya.

"Meskipun membayar cukai di Jerman, menderma fasiliti kepada sekolah di Jerman dan memenangi Piala Dunia bersama Jerman pada 2014, saya masih tidak diterima dalam masyarakat. Saya dilayan seperti saya 'berbeza'.

"Saya terima 'Bambi Award' pada 2010 sebagai contoh kejayaan integrasi dalam masyarakat Jerman, saya terima anugerah ‘Silver Laurel Leaf’ pada 2014 darpada pemerintah, dan saya pernah menjadi duta bola sepak Jerman pada 2015. Tapi sangat jelas, saya tidak dianggap orang Jerman.

"Adakah saya tidak memenuhi kriteria untuk menjadi orang Jerman sepenuhnya? Kawan saya Lukas Podolski dan Miroslav Klose tidak pernah dianggap sebagai orang Poland-Jerman, jadi kenapa saya di anggap orang Turki-Jerman? Adakah sebab saya seorang Muslim?"

SEHARUSNYA TIADA DISKRIMINASI DALAM SUKAN

Mengulas lanjut, Ozil mengakui ia keputusan yang berat namun terpaksa dibuat.

"Layanan yang saya terima daripada DFB dan ramai pihak lain buat saya tidak lagi mahu menyarung jersi kebangsaan Jerman.

"Saya rasa tidak dialu-alukan. Orang yang mempunyai sikap diskriminasi tidak seharusnya berkerja di persatuan bola sepak paling besar di dunia yang mempunyai ramai pemain yang keluarga berketurunan campuran." 

Sumber : Reuters/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita