Skip to main content

Sukan

Kemudahan takraw di Nakhon Pathom penuhi piawai ASTAF untuk Sukan SEA ke-33

Anggaran Waktu Membaca:
Kemudahan takraw di Nakhon Pathom penuhi piawai ASTAF untuk Sukan SEA ke-33

Abdul Halim Kader (duduk depan) dan Boonchai Lorhphipat, bersama delegasi dari Persatuan Sepak Takraw dan Chinlone Myanmar serta pemain-pemain kebangsaan Thailand di Gimnasium Pusat Sukan Nakhon Pathom yang akan digunakan semasa Sukan SEA Ke-33 Thailand. (Gambar: Abdul Halim Kader)

NAKHON PATHOM, Thailand: Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) Abdul Halim Kader yakin bahawa Gimnasium Pusat Sukan Nakhon Pathom amat sesuai untuk dijadikan sebagai tapak rasmi bagi pertandingan sepak takraw Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) Ke-33 di Thailand.

Ini memandangkan semua kemudahan yang disediakan memenuhi piawaian bagi penganjuran kejohanan bertaraf antarabangsa.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media pada Jumaat (14 Mac) selepas mengadakan lawatan rasmi ke gimnasium berkenaan bagi meninjau-ninjau kemudahan di lokasi tersebut pada 10 Mac lalu.

Semasa lawatan tersebut, Encik Halim, yang mengetuai delegasi ASTAF, turut diiringi Pemangku Presiden Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) Boonchai Lorhphipat, Timbalan Presiden ISTAF Muhammad Fariq Halim dan Naib Presiden Persatuan Sepak Takraw Thailand merangkap Pengurus Pertandingan Sukan SEA Thailand Prof Chalerm Chaiwatcharaporn.

Pemerhatian dan penelitian di lokasi tersebut juga disertai Presiden Sepak Takraw Myanmar Ye Htut Wint Tin, Presiden Persekutuan Chinlone Myanmar Thet Lwin dan Timbalan Ketua Pengarah Kementerian Belia Dan Sukan Myanmar Encik Moe.

Di samping itu, Encik Halim, yang juga Setiausaha Agung ISTAF, turut memberi reaksi positif bahawa lokasi acara tersebut adalah "yang terbaik" bagi penganjuran pertandingan sepak takraw sejak Sukan SEA 2017.

Gimnasium Pusat Sukan Nakhon Pathom boleh menampung 4,000 penonton dan berhawa dingin sepenuhnya, menurut Encik Halim dalam kenyataan media tersebut.

Majlis Perbandaran Nakorn Pathom juga memberikan jaminan bahawa semua kemudahan di tapak acara tersebut akan dinaik taraf untuk memberikan keselesaan kepada semua yang terlibat dengan pengurusan pertandingan kelak, jelas beliau.

Encik Halim turut melahirkan rasa optimis bahawa penganjuran pertandingan sepak takraw di Nakhon Pathom "mampu memuaskan hati semua pihak" dan akan memberikan kepuasan yang optimum dalam mencapai objektif serta matlamat yang ditetapkan.

"Semoga penganjuran acara sepak takraw di Sukan SEA Ke-33 Thailand 2025 akan menjadi platform dan momentum terbaik ke arah mencapai mutu tatakelola yang menepati cita rasa semua pihak bagi mencapai sifar kecacatan dalam perancangan serta pelaksanaannya," ujar Encik Halim.

Sukan SEA 2025 akan berlangsung dari 9 hingga 20 Disember di Bangkok, Chonburi dan Songkhla di Thailand.
Sumber : BERITA Mediacorp/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita