Skip to main content

Sukan

Kempen kumpul dana sokong pemulihan Rezal Hassan cecah S$19,000; jangkaui sasaran awal S$5,000

Anggaran Waktu Membaca:
Kempen kumpul dana sokong pemulihan Rezal Hassan cecah S$19,000; jangkaui sasaran awal S$5,000

Bekas penjaga gawang Singapura, Rezal Hassan (baju hijau) bersama Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia David Neo serta rakan-rakan seperjuangan Rezal Hassan. (Gambar: Facebook/David Neo)

Diterbitkan : 21 Apr 2026 06:10AM Dikemas Kini : 21 Apr 2026 06:13AM
  • Rezal Hassan, bekas penjaga gol Singapura, menerima sokongan masyarakat selepas diserang angin ahmar tahun lalu.
  • Perlawanan amal bola sepak di Hab Tampines Kita pada 18 April berjaya mengumpul lebih S$19,000, melebihi sasaran asal S$5,000.
  • Acara ini melibatkan Kelab Sporting Tampines, Kelab Sukan Dramatis Singapura dan MAEC Kelab Masyarakat Tampines North, serta mendapat perhatian Menteri David Neo.
  • Tujuan utama kutipan dana adalah untuk menampung kos perubatan, pemulihan dan keperluan harian Rezal yang kini tidak mampu bekerja.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Pada tahun-tahun kegemilangannya dahulu, Rezal Hassan dapat menyaksikan rakyat Singapura bersatu hati ke Stadium Negara bagi menyokong pasukan Singa.

Kini bekas penjaga gawang pasukan bola sepak Singapura itu dapat menyaksikan pula bagaimana rakan-rakan seperjuangan, keluarga dan sahabat handai bersatu hati dalam mengumpul dana untuk menyokong pemulihannya selepas diserang angin ahmar tahun lalu.
Malah, jumlah S$5,000 yang ingin dikumpulkan menerusi Perlawanan Amal Rezal Hassan di Hab Tampines Kita (OTH) pada Sabtu (18 Apr) sudah jauh melepasi sasaran awal.

Setakat Isnin (20 Apr) malam, lebih S$19,000 berjaya dikumpul bagi menyokong jagaan perubatannya, proses pemulihan serta perbelanjaan hariannya.

Sokongan masyarakat yang memberangsangkan itu turut menarik perhatian Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia David Neo.

Menerusi catatannya di laman Facebook, Encik Neo berkata beliau berbesar hati melihat rakan-rakan sepasukan dan sahabat handai berhimpun bagi perlawanan amal itu sebagai tanda sokongan kepada bekas pemain bola sepak tempatan itu.
"Sebagai satu masyarakat, kita boleh tampil untuk menyokong jagaan perubatan, pemulihan dan perbelanjaan hariannya.

"Jika anda mampu, sila menyumbang dan menyokong tujuan amal ini.

"Setiap isyarat sokongan amat bermakna, dan secara bersama-sama, kita boleh membantu meringankan beban Rezal serta orang tersayang dalam waktu yang sukar ini," tulis Encik Neo.

Perlawanan Amal Rezal Hassan itu diadakan antara Kelab Sporting Tampines dengan Kelab Sukan Dramatis Singapura, yang berakhir 2-2.

Perlawanan itu turut disokong oleh MAEC Kelab Masyarakat Tampines North.

Bekas penjaga gawang Singapura itu telah menyarung jersi pasukan negara sebanyak 60 kali dan membantu Singapura meraih kemenangan bersejarah dalam Piala Tiger 1998.

Selepas bersara, beliau terus berbakti kepada bola sepak Singapura melalui pelbagai peranan kejurulatihan di beberapa akademi demi menyara keluarganya.

Namun kini, beliau tidak lagi mampu bekerja dengan keadaan kesihatannya selepas serangan angin ahmar tersebut.

Usaha mengumpul dana bagi menyokong pemulihan Rezal akan turut meliputi perbelanjaan bagi membiayai kos perubatan serta memenuhi keperluan jagaan jangka panjang.
Sumber : BERITA Mediacorp/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita