Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Kematian pemain badminton China boleh dielak jika bantuan kecemasan tepat pada masanya, kata Dr Guru

Anggaran Waktu Membaca:
Kematian pemain badminton China boleh dielak jika bantuan kecemasan tepat pada masanya, kata Dr Guru

(Gambar: Facebook/Badminton Association of Malaysia)

KUALA LUMPUR: Masyarakat umum dan dunia badminton tergamam melihat insiden pemain China Zhang Zhi Jie rebah di gelanggang dan meninggal dunia akibat serangan jantung pada Kejohanan Remaja Asia di Yogyakarta, Indonesia, pada 30 Jun lalu.

Kematian tragis pemain berusia 17 tahun itu mencetuskan persoalan dalam kalangan pegawai, pemain serta peminat sukan itu di seluruh dunia berhubung tempoh masa diambil memberikan bantuan kecemasan oleh pasukan perubatan bertugas pada kejohanan tersebut.

Memandangkan perlawanan membabitkan Zhi Jie disiarkan secara langsung di televisyen dan rakaman video insiden itu dikongsi secara meluas dalam platform media sosial, soal dakwaan kelewatan turut menimbulkan kekeliruan dalam kalangan semua pihak.

Mereka kini menuntut penjelasan mengenai dasar dan prosedur bantuan kecemasan semasa kejohanan.

Persatuan Badminton China (CBA) menerusi satu kenyataan pada 1 Julai lalu menyatakan badan induk itu sangat berdukacita di atas kehilangan pemain berbakat seperti Zhi Jie, seorang  pemain terbaik dalam skuad remaja kebangsaan.

Persekutuan Badminton Dunia (BWF) memaklumkan akan mengkaji semula secara menyeluruh dasar dan prosedur berhubung bantuan kecemasan.

Berikutan itu, agensi berita China Xinhua melaporkan bahawa kakak mendiang menuntut penjelasan atas pemergian adiknya di platform media sosial China Weibo pada Rabu (10 Jul) lalu.
Dalam pada itu, Pengerusi Suruhanjaya Perubatan BWF Dr Gurcharan Singh, yang lebih dikenali sebagai Dr Guru, adalah salah seorang yang berpendirian tegas bahawa kematian Zhi Jie adalah sia-sia.

Menurutnya, pemain remaja nombor lapan dunia itu mungkin boleh diselamatkan jika dia mendapat bantuan tepat pada masanya.

“Saya beberapa kali melihat klip video Zhi Jie rebah dalam gelanggang. Saya merasakan terdapat kesilapan yang serius dalam pendekatan profesional dalam memberikan rawatan perubatan kecemasan kepada pemain. Terdapat pelbagai perkara yang tidak betul.

" Dalam situasi jantung terhenti secara tiba-tiba, pegawai perubatan perlu menilai dan melakukan CPR (resusitasi kardio-pulmonari) dalam masa dua minit pemain itu rebah. Ia termasuk penggunaan peranti defibrillator luaran automatik (AED)  untuk menstabilkan keadaan sebelum bergegas ke hospital berhampiran.

"Semasa kecemasan perubatan seperti serangan jantung secara tiba-tiba, pasukan perubatan perlu bertindak pantas untuk menyelamatkan nyawa tanpa perlu menunggu kebenaran pengadil untuk masuk ke dalam gelanggang dan merawat pemain,” katanya.

Dr Guru berkata pegawai perubatan di gelanggang terlatih untuk menghadapi dan bertindak terhadap situasi sedemikian.

“Bagi setiap minit yang terbuang, peluang untuk hidup berkurangan sebanyak 10 peratus. Dalam perjalanan ke hospital jika tiada oksigen, CPR dan/atau AED diberikan, dia mungkin dalam keadaan vegetatif,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pada hakikatnya, pegawai perubatan pada kejohanan itu lewat bertindak untuk mendiagnosis serangan jantung secara tiba-tiba dan kegagalan untuk memulakan CPR serta penggunaan AED, pada dasarnya menghilangkan sebarang peluang bagi pemain malang itu.

"CPR dan AED sepatutnya menjadi rawatan pertama sebelum mengeluarkan pemain dari gelanggang. Pasukan perubatan gagal dalam aspek itu," katanya.

Dr Guru menegaskan bahawa adalah menjadi tanggungjawab Badminton Asia dan jawatankuasa penganjur kejohanan memastikan pegawai perubatan terlatih dilantik untuk mengendalikan situasi seperti itu  semasa kejohanan antarabangsa.

Menurutnya, pemain memerlukan masa untuk pemulihan kerana sentiasa berdepan dengan tahap permainan berintensiti tinggi, stres mental dan fizikal tinggi serta jadual pertandingan yang padat.

Insiden menyedihkan menimpa pemain muda China itu tidak mengejutkan Dr Guru, kerana beliau sudah memberikan amaran kepada semua yang terlibat dalam badminton dunia bahawa serangan jantung mengejut akan berlaku semasa pertandingan dan perlu respons profesional untuk menyelamatkan seseorang pemain.

Beliau berkata tiada kejohanan boleh dimulakan tanpa syarat minimum iaitu kelengkapan perubatan kecemasan seperti peralatan oksigen, peranti AED, pengusung papan tulang belakang dan kehadiran ambulans di lokasi kejohanan.
 
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan