Skip to main content

Sukan

Kelayakan Piala Asia 2023: 50% atau sehingga 20,000 penyokong dibenarkan ke stadium

Kebenaran untuk penyokong menyaksikan pusingan akhir kelayakan Piala Asia 2023 di stadium adalah 50 peratus kapasiti stadium atau sehingga 20,000 penyokong, kata Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Hamidin Mohd Amin.

Anggaran Waktu Membaca:
Kelayakan Piala Asia 2023: 50% atau sehingga 20,000 penyokong dibenarkan ke stadium

Gambar: BERNAMA

Diterbitkan : 20 Feb 2022 02:49PM

GEORGE TOWN: Kebenaran untuk penyokong menyaksikan pusingan akhir kelayakan Piala Asia 2023 di stadium adalah 50 peratus kapasiti stadium atau sehingga 20,000 penyokong, kata Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Hamidin Mohd Amin.

Encik Hamidin berkata setakat ini, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan jumlah itu hadir ke stadium menyaksikan pelawanan yang dihoskan Malaysia.

"Kita akan terus pantau keadaan COVID-19 semasa dan mempunyai masa sehingga Jun… sekiranya keadaan mengizinkan, kita akan memohon KKM dan MKN untuk membenarkan lebih ramai penyokong masuk ke stadium untuk menyaksikan pelawanan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan padang sintetik Kopa Arena di University Sains Malaysia (USM) hari ini (20 Feb).

Encik Hamidin berkata situasi kes COVID-19 sekarang masih tinggi dan pematuhan prosedur operasi standard adalah penting dalam menjamin keselamatan serta kesihatan semua pemain.

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dalam kenyataan baru-baru ini mengumumkan Malaysia dipilih sebagai satu daripada enam tuan rumah untuk pusingan akhir kelayakan bagi merebut tempat ke Piala Asia 2023 di China.

AFC turut menyenaraikan India, Kuwait, Kyrgyzstan, Mongolia dan Uzbekistan sebagai tuan rumah bagi kelayakan untuk menentukan baki 11 pasukan yang bakal mara ke Pusingan Akhir yang akan diadakan di 10 bandar di China.

Kali terakhir Malaysia layak ke Piala Asia secara merit pada edisi Kuwait 1980, manakala pada 2007, skuad Harimau Malaya tampil sebagai tuan rumah bersama Indonesia, Thailand dan Vietnam.

Sementara itu, Encik Hamidin berkata calon jurulatih tempatan yang akan dipilih sebagai pembantu jurulatih kepada ketua jurulatih kebangsaan Kim Pan Gon akan diumumkan minggu hadapan.

Beliau berkata hak pemilihan pembantu jurulatih tempatan diserahkan kepada ketua jurulatih dan Pan Gon akan mengumumkan calon itu minggu depan.

"Insya-Allah kita akan umum nama dia (pembantu jurulatih) pada Selasa atau Rabu depan...ketua jurulatih akan lakukan pengumuman tersebut," katanya.

Semalam, media tempatan melaporkan jurulatih dari Korea Selatan itu berminat untuk berjumpa dengan tujuh calon jurulatih tempatan sebelum mengumumkan pembantunya dalam barisan kejurulatihan baru skuad Harimau Malaya.

Perlawanan persahabatan menentang Filipina pada 23 Mac dan Singapura pada 26 Mac adalah ujian awal buat Pan Gon, sebagai persediaan menjelang pusingan Kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun ini.

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita