Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

'Kelab Boys United FC' hidupkan semangat kampung di Tampines

Semangat kampung dihidupkan di estet kejiranan Tampines melalui sukan bola sepak.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Semangat kampung dihidupkan di estet kejiranan Tampines melalui sukan bola sepak.

Bahkan penduduk semuda lapan tahun juga turut berpeluang memainkan peranan menyemarakkan semangat kesukanan.

BERITAmediacorp turun padang mengenali anggota pasukan 'kampung' Tampines itu.

(Gambar: Boys United FC/Facebook)

Melihat kesungguhan kanak-kanak menggelecek bola barangkali memberi gambaran, mereka bakal berentap dalam perlawanan bola sepak tidak lama lagi.

Walhal, mereka sebenarnya budak "bawah blok" yang bersukan setiap Ahad dengan niat menghidupkan kembali semangat kampung dan mengeratkan silaturrahim menerusi sukan.

Kelab Boys United FC ditubuhkan Encik Muhammad Khamis Samsudin sebagai satu cara menyatukan para penduduk kawasan Tampines tidak kira usia dan bangsa.

Bermula dengan hanya empat pemain,kini ada seramai 32 pemain dalam Kategori Bawah 8, 10 dan 12 tahun.

"Apa yang mendorong saya menubuhkan kelab bola sepak ini ialah untuk budak-budak ini.

"Bermula daripada kecil, saya hendak mereka berdisiplin menerusi bersukan, berkawan, jalin silaturrahim," kata Encik Muhammad Khamis Samsudin, yang juga bertindak sebagai ketua jurulatih.

KENALI JIRAN TETANGGA

Bahkan menerusi Kelab itu juga membuka ruang bagi ibu bapa di kawasan Tampines untuk mengenali jiran tetangga mereka.

Ini mendorong tujuh bapa untuk turun padang dan berperanan sebagai jurulatih Boys United FC.

"Budak-budak ini ingin perhatian jadi sedikit banyak kita sebagai keluarga, kita tidak boleh jauh dengan anak-anak. Daripada mereka bercampur dengan pergaulan yang tidak betul, baik kita benarkan mereka bermain sukan, jadi ini adalah satu tabiat yang baik untuk keluarga mengadakan satu permainan bola bersama-sama," kata seorang bapa yang juga jurulatih, Mohamed Nazsari Mahmood.

Bagi salah seorang pemain, platform tersebut memberinya peluang mengenali lebih ramai teman di kejiranan.
"Saya mahu menyertai pasukan ini kerana kawan-kawan saya di sini dan saya mahu belajar daripada para jurulatih dan berseronok", kata Aeden Jahred Colonia.

Nyata, usaha mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan serta mengenali jiran tetangga mendapat sokongan masyarakat terutama golongan muda.

"Saya berasa sangat gembira, seronok dan saya suka kawan-kawan yang di sini. Mereka baik dan seronok sekali," kongsi satu-satunya anggota perempuan 'Kelab Boys United FC' , Shameen Nisha Saleem Khan.

HARAPAN BAGI BOYS UNITED FC

Encik Khamis memaklumkan BERITAmediacorp bahawa beliau berharap dapat sedikit sebanyak membantu mengembalikan semangat gotong-royong yang kian pudar di estet kejiranannya itu.

Beliau percaya nilai-nilai seperti itu jika diamalkan dan dipupuk sejak kecil lagi akan meraih sambutan yang lebih memberangsangkan kerana meluntur buluh biarlah dari rebungnya.

“Saya amat berharap budak-budak di kawasan estet kejiranan ini bersatu padu, mempunyai sifat tolong menolong dan mengenali rapat antara satu sama lain, sekaligus membentuk masyarakat yang kondusif,” ujarnya lagi. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ur
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan