Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Kelab Bola Sepak Warriors didenda S$26,000, gagal bayar gaji pemain dan kesalahan lain

Anggaran Waktu Membaca:
Kelab Bola Sepak Warriors didenda S$26,000, gagal bayar gaji pemain dan kesalahan lain

Warriors FC didenda kerana tidak bayar gaji 5 pemain dan seorang jurulatih pada 2019. (Gambar: Warriors Football Club/Facebook)

SINGAPURA: Sebuah kelab bola sepak didenda S$26,000 di mahkamah pada Selasa (Jan 11) kerana gagal membayar gaji berjumlah lebih S$110,000 kepada seorang jurulatih dan beberapa pemain.

Kelab Bola Sepak Warriors juga didenda atas sebab tidak memaklumkan seorang pegawai pelesenan kerana menggajikan empat pegawai keselamatan, kerana memikirkan sudah cukup jika diberitahu pihak Liga-S.

Wakil kelab berkenaan mengaku bersalah hari ini atas tujuh tuduhan, kebanyakannya di bawah Akta Pekerjaan, dengan 127 lagi tuduhan diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.

Mahkamah diberitahu bahawa kelab tersebut tidak membayar gaji lima pemain, berjumlah antara S$11,995 dengan S$20,255.

Lima pemain terbabit ialah: Behe Jonathan Henri Desire William, Ignatius Ang Yu Heng, Muhammad Fadhil Noh, Poh Yi Feng dan Yeo Hai Ngee.

Kelab Warriors juga belum membayar gaji lebih S$33,200 kepada jurulatih Lee Bee Seng. Gaji itu sepatutnya dibayar pada November atau Disember 2019.

Secara keseluruhan, termasuk tuduhan yang diambil kira, kelab berkenaan tidak membayar gaji berjumlah lebih S$300,000 kepada 35 kakitangannya.

Seorang pegawai Kementerian Tenaga Manusia menjalankan siasatan pada Mei 2019 selepas menerima maklumat tentang hal tersebut. Sejak itu, kelab tersebut sudah pun membuat bayaran penuh kepada anggota-anggota kakitangan terlibat.

Atas kesalahan menggajikan empat pegawai keselamatan tanpa memaklumkan kepada pegawai pelesenan, peguam firma IRB Law Encik Azri Imran Tan memohon denda sebanyak S$20,00 untuk dibayar secara ansuran. Beliau menyifatkan kelab tersebut sebagai "kelab bola sepak paling berjaya dalam sejarah Singapura", menjuarai Liga-S sebanyak rekod sembilan kali dan "menjulang Piala Singapura sebanyak empat kali".

Kelab bola sepak tersebut mula mengalami kesulitan kewangan pada September 2018, tambah peguam itu dan dihimpit defisit modal kira-kira S$1.1 juta.

Kelab tersebut kemudian diarah tidak bertanding bagi musim Liga Perdana Singapura 2020 dan juga musim berikut.

Hakim membenarkan kelab itu untuk membayar denda secara ansuran sehingga Mei 2023.

Sumber : CNA/NY/ih
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan