Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Kejohanan e-sukan di S'pura diteruskan walau 3 peserta Brazil positif COVID-19

Kejohanan e-sukan M2 World Championship akan diadakan seperti dijadualkan pada 18 Jan meskipun tiga peserta dari Brazil diuji positif bagi COVID-19, menurut penganjur acara MOONTON pada Jumaat (15 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:
Kejohanan e-sukan di S'pura diteruskan walau 3 peserta Brazil positif COVID-19

Pasukan Brazil di M2 World Championship. (Gambar: Facebook/DreamMax E-sports)

Diterbitkan : 15 Jan 2021 06:19PM Dikemas Kini : 15 Jan 2021 06:20PM

SINGAPURA: Kejohanan e-sukan M2 World Championship akan diadakan seperti dijadualkan pada 18 Jan meskipun tiga peserta dari Brazil diuji positif bagi COVID-19, menurut penganjur acara MOONTON pada Jumaat (15 Jan).

Seorang peserta disahkan sebagai kes import COVID-19 dalam kemas kini Kementerian Kesihatan (MOH) pada Rabu (13 Jan), sementara lagi dua kes jangkitan dilaporkan pada Khamis (14 Jan).

Ketiga-tiga individu diuji positif setelah menjalani ujian swab di penghujung Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) selama 14 hari, menurut MOONTON dalam jawapan kepada pertanyaan oleh Mediacorp.

"Mereka masing-masing menjalani ujian PCR COVID-19 dan diuji negatif sebelum berlepas ke Singapura," menurut MOONTON dalam kenyataannya.

Kontak rapat kepada kes sudah dikenal pasti dan sedang menjalani kuarantin di sebuah kemudahan khusus, tambahnya.

"Sebagai sebahagian daripada protokol bagi para atlit warga asing dan kru yang mengambil bahagian dalam acara ini, kesemua peserta yang berpangkalan di luar negara perlu menjalani ujian sebelum berlepas dari negara masing-masing," menurut syarikat penganjur, sambil menambah bahawa mereka juga perlu menjalani SHN selama 14 hari dan diuji di penghujung tempoh tersebut.

Mereka yang diuji negatif dibenarkan untuk mengambil bahagian dalam acara yang akan diadakan di Hotel Shangri-La, menurut MOONTON.

"Kesihatan dan keselamatan awam kekal sebagai keutamaan kami. Kes-kes ini dikesan melalui protokol saringan dan langkah-langkah ketat yang dilaksanakan bagi memastikan kesihatan masyarakat tempatan serta para peserta acara," menurut MOONTON.

Selain daripada Brazil, pasukan-pasukan dari Kemboja, Indonesia, Jepun, Malaysia, Myanmar, Filipina, Rusia dan Singapura dijangka mengambil bahagian dalam kejohanan yang berkisarkan permainan Mobile Legends: Bang Bang.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan