Kejohanan Akuatik Dunia: Acara renang air terbuka di Sentosa ditangguh lagi
Acara renang air terbuka dalam Kejohanan Akuatik Dunia sekali lagi ditangguhkan susulan tahap kualiti air di lokasi perlumbaan di Sentosa yang masih belum mencapai tahap yang boleh diterima, menurut badan induk sukan tersebut, World Aquatics, pada Selasa (15 Jul).
Lokasi acara renang air terbuka untuk Kejohanan Akuatik Dunia di Singapura di Sentosa berhampiran Palawan Beach pada 7 Julai 2025. (Gambar fail: CNA/Syamil Sapari)
Dalam satu kenyataan, World Aquatics menyatakan bahawa meskipun keputusan ujian mutu air sudah “menunjukkan peningkatan”, ujian lanjut mendapati tahap pencemaran masih melebihi “paras yang boleh diterima”.
Ini bermakna acara 10km lelaki dan 10km wanita yang masing-masing dijadual berlangsung pada Rabu pukul 7.30 pagi dan 10.15 pagi, ditangguhkan kepada pukul 1.00 petang dan 4.00 petang. Ia bagaimanapun tertakluk kepada keputusan ujian air yang diambil pada Selasa malam.
Keputusan bagi sampel-sampel tersebut dijangka diperoleh pada pagi Rabu, menurut World Aquatics.
Pada Selasa, perlumbaan 10km wanita ditangguhkan hanya beberapa jam sebelum ia dijadualkan untuk bermula. Penganjur menyatakan bahawa keputusan analisis terhadap sampel yang diambil pada Ahad lalu menunjukkan tahap kualiti air tidak menepati “paras yang boleh diterima”.
Perlumbaan itu, yang pada asalnya dijadualkan pada Selasa pukul 8.00 pagi, kemudian ditunda ke pagi Rabu.
Pengarah eksekutif World Aquatics, Brent Nowicki, berkata pada Selasa petang bahawa peningkatan tahap bakteria E. coli menjadi punca penangguhan perlumbaan tersebut. Beliau menambah bahawa punca pencemaran itu masih belum dikenal pasti.
E. coli merupakan sejenis bakteria yang biasanya ditemui dalam usus manusia dan haiwan. Antara simptom biasa apabila seseorang menelan strain E. coli berbahaya termasuk muntah dan cirit-birit.
Encik Nowicki menjelaskan bahawa World Aquatics mematuhi “had yang boleh diterima” yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan ujian kualiti air dijalankan oleh “agensi ujian luar” bagi memastikan ketelusan dan ketelitian.
Beliau turut menambah bahawa ujian yang dilakukan dalam beberapa minggu dan bulan sebelum kejohanan menunjukkan keputusan dalam “had yang boleh diterima”.
Sentosa menjadi lokasi bagi acara terjun tinggi dan renang air terbuka dalam kejohanan tersebut.
Kejohanan itu turut menampilkan empat lagi sukan iaitu renang, polo air, terjun dan renang artistik.
Ini merupakan kali pertama kejohanan sukan tersebut, yang bermula pada 11 Julai dan akan berakhir pada 3 Ogos, dianjurkan oleh sebuah negara Asia Tenggara.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.