Skip to main content

Sukan

Kehadiran Fandi Ahmad ke Sri Pahang FC kepuasan terbesar, andai jadi kenyataan

CEO Sri Pahang FC berkata Fandi Ahmad disebut-sebut sebagai calon ketua jurulatih baru kelab itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Kehadiran Fandi Ahmad ke Sri Pahang FC kepuasan terbesar, andai jadi kenyataan

Gambar fail Fandi Ahmad. (Gambar: Fandi Ahmad Official/Facebook)

KUALA LUMPUR: Kedatangan penyerang legenda Singapura, Fandi Ahmad, ke pasukan Sri Pahang FC boleh dianggap sebagai kepuasan terbesar buat skuad Tok Gajah jika menjadi kenyataan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kelab Bolasepak Sri Pahang Mohammed Suffian Awang.

Beliau berkata Fandi, yang disebut-sebut sebagai calon ketua jurulatih baru Sri Pahang, adalah nama yang cukup tersohor dan tidak asing dalam kalangan penyokong kerana pernah menyarung jersi Pahang pada era 90-an termasuk membantu pasukan menjuarai Piala Malaysia 1992.

Encik Mohammed Suffian turut tidak menolak kemungkinan gandingan Fandi bersama bekas rakan sepasukannya di Pahang dan legenda bola sepak negara, Dollah Salleh, yang kini pengurus pasukan Sri Pahang, dapat mencetuskan sesuatu yang positif.

“Pastinya senario dan budaya Pahang, Fandi sudah masak dan faham. Apatah lagi kalau bersama dengan Dollah Salleh, yang dikatakan kedua-dua mereka sahabat lama,” katanya ketika ditemui di Mesyuarat Rakan Kongsi Liga Luar Biasa Ketiga Liga Bolasepak Malaysia (MFL), semalam (20 Jul).

Beliau mengakui Sri Pahang dan Fandi ada berhubung, namun tiada sebarang persetujuan dicapai sehingga hari ini dengan pemilik kelab akan memutuskan tarikh sesi perbincangan rasmi.

“Buat masa ini, Fandi hanya ura-ura dan sekiranya ada keputusan konkrit, kita akan maklumkan. Buat masa ini, kita kekal dengan (kejurulatihan) yang ada sehingga keputusan yang disebutkan ura-ura itu akan menjadi realiti,” katanya.

Khabar angin Fandi bakal menggantikan Christophe Gamel selaku ketua jurulatih Sri Pahang bertiup kencang selepas kontrak Gamel bersama juara Piala FA 2018 itu dilaporkan ditamatkan secara persetujuan bersama minggu lalu.

<<BACA:
Fandi Ahmad calon pilihan ganti ketua jurulatih Sri Pahang FC

Fandi Ahmad undur diri sebagai Ketua Belia Elit FAS; rancang luang lebih banyak masa bersama keluarga>>

Bekas pemain Kuala Lumpur itu, yang meledak keseluruhan 55 gol bersama Singapura, turut melepaskan jawatannya sebagai Ketua Unit Pembangunan Belia Elit Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) hujung bulan lalu, sekali gus menghangatkan spekulasi beliau bakal menyertai Sri Pahang.

Fandi pernah membimbing beberapa pasukan antaranya, Johor Darul Ta’zim, skuad kebangsaan Singapura, pasukan pembangunan Singapura Young Lions dan skuad Bawah 23 Tahun Singapura ke Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam, Mei lalu.

Dalam pada itu, Encik Mohammed Suffian berkata terdapat beberapa jurulatih lain yang menyatakan minat untuk membimbing Sri Pahang.

Bagaimanapun, katanya, ketika ini perlawanan suku akhir Piala FA berdepan Penang FC di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Sabtu ini (23 Jul) menjadi keutamaan pasukan yang akan dibimbing Dollah sebagai pengendali sementara.

Sri Pahang mengharungi musim Liga Super yang sukar menyusuli prestasi terumbang-ambing, menyebabkan pasukan itu berada di kedudukan kedua tercorot dengan hanya lapan mata daripada 11 perlawanan setakat ini.
Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita