Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

'Keadaan akan bertambah teruk', kata jurulatih Singa Muda setelah dibelasah 0-7 oleh M'sia

Anggaran Waktu Membaca:
'Keadaan akan bertambah teruk', kata jurulatih Singa Muda setelah dibelasah 0-7 oleh M'sia

Jurulatih pasukan bola sepak Singa Muda Philippe Aw sewaktu perlawanan Sukan SEA antara Singapura dan Thailand di Stadium Visakha pada 30 April 2023. (Gambar: Jeremy Long/CNA)

SINGAPURA: Ada jurang "ketara" dalam mutu pasukan Singa Muda dengan pasukan-pasukan lain di rantau ini, kata ketua jurulatih pasukan bola sepak Singapura di Sukan Asia Tenggara (SEA) ke-32, Philippe Aw.

Tambah beliau, keadaan akan bertambah buruk sekiranya langkah tidak diambil untuk memperbaiki tahap bola sepak di Singapura. 

Beliau berkata demikian dalam sidang media menyusuli kekalahan teruk skuad Singa menentang seteru tradisi Malaysia, dalam perlawanan terakhir kumpulan B di Stadium Visakha pada Khamis (11 Mei). 

Singapura sudahpun terkeluar daripada peringkat kumpulan setelah kalah dua perlawanan pertama dengan Thailand dan Vietnam serta seri 0-0 dengan Laos pada Sabtu. 

Kekalahan kepada Malaysia itu merupakan prestasi terburuk Singapura di Kemboja dan kekalahan paling teruk Singapura di temasya sukan itu sejak ia meletakkan had umur pada penyertaan sejak 2001. 

Ia juga merupakan kekalahan terbesar Singapura sejak dibelasah 0-5 oleh Thailand di temasya sukan  sebelum ini dan merupakan kali kelima berturut-turut Singapura tidak melepasi peringkat kumpulan dalam Sukan SEA sejak 1987. 

Kata Aw: "Hanya ada satu pasukan dalam perlawanan hari ini dan ia adalah Malaysia. Kami gagal mengelakkan jaringan gol pertama dan mereka terus menguasai permainan."

Oleh kerana terdapat beberapa pemain yang cedera, Aw terpaksa membuat empat perubahan pada kesebelasan pasukan, Namun, beliau enggan menyalahkan kekalahan itu kepada kehilangan beberapa pemain utama. 

"Pemain lain di padang semuanya cuba tetapi terdapat perbezaan yang ketara... seperti yang dapat anda lihat," katanya.

Jurulatih itu tidak secara langsung menjawab pertanyaan tentang sama ada beliau akan terus menggalas tanggungjawab itu, tetapi mengakui masa depannya tidak menentu. 

Beliau bagaimanapun memberi amaran bahawa penggantinya akan berdepan isu yang sama. 

Dan selagi isu dalam sistem bola sepak Singapura tidak diatasi, kekalahan yang berlaku pada Khamis akan menjadi satu kebiasaan, tambah Aw. 

"Tentang masa depan saya, saya rasa ia tidak penting buat masa ini," ujarnya. 

"Apa yang perlu direnungkan ialah jika kita tidak mengambil tindakan, ia akan bertambah teruk pada masa akan datang... Ia sudah berlaku bertahun-tahun lamanya." 

Kata Aw, beliau dan kakitangannya sudah berusaha sedaya upaya, tetapi mengakui ia "tidak cukup". 

"Kita boleh cari jurulatih seterusnya. 

"Kita harus meneliti ekosistem (bola sepak) di Singapura dan menyemak proses-prosesnya... Saya boleh mengundurkan diri dan mendapatkan pengganti." 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan