Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Kanada layak ke Piala Dunia FIFA buat julung-julung kalinya dalam 36 tahun

Anggaran Waktu Membaca:
Kanada layak ke Piala Dunia FIFA buat julung-julung kalinya dalam 36 tahun

(Gambar: Vaughn Ridley/Getty Images/AFP)

KUALA LUMPUR: Kanada layak ke Piala Dunia Qatar 2022 selepas menewaskan Jamaica 4-0 dalam perlawanan kedua terakhir pusingan kelayakan awal pagi tadi (28 Mac). 

Les Rouges merupakan pasukan yang amat menyerlah dalam zon CONCACAF dan sejak dari awal kelihatan berpotensi untuk layak ke kejohanan utama, lapor Astro Arena. 

Bagaimanapun, mereka melepaskan peluang lebih awal apabila tewas 0-1 kepada Costa Rica, Jumaat lalu (25 Mac) tetapi kali ini, mereka menyudahkan tugasan berkenaan dengan penuh gemilang.

Cyle Larin memberikan kelegaan selepas memanfaat hantaran Stephen Eustaquio untuk membuka jaringan pada minit ke-13 dan walaupun Kanada kerap mensia-siakan peluang terhidang, mereka menggandakan kelebihan itu hasil tolakan Tajon Buchanan sebelum waktu rehat.

Junior Hoilett menjadikan kedudukan 3-0 pada lapan minit terakhir sebelum gol sendiri Adrian Mariappa menutup malam gemilang untuk diraikan di Toronto, lapor Astro Arena lagi.

Canada tidak pernah layak ke Piala Dunia sejak kali terakhir mengambil bahagian di Mexico pada 1986 -- tewas kesemua tiga perlawanan peringkat kumpulan.

Bagaimanapun, berbekalkan pemain generasi emas di bawah bimbingan John Herdman, mereka tidak berdepan masalah untuk melayakkan diri ke Qatar.

The Maple Leaf hanya tewas sekali sepanjang kempen pusingan ketiga dan pusingan akhir kelayakan zon CONCACAF, di mana mereka turut menewaskan Amerika Syarikat dan Mexico di laman sendiri dan tempat lawan.

Mereka juga melonjak ke tangga ke-33 ranking dunia bulan lalu dan tanpa mengira keputusan perlawanan Amerika Syarikat dan Mexico dalam aksi terakhir, Kanada hanya memerlukan satu lagi mata ketika menentang Panama pada Rabu depan (30 Mac) untuk bergelar juara kumpulan.

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan