Skip to main content

Sukan

Jurulatih Portugal tidak kesal letak Ronaldo di bangku simpanan

Anggaran Waktu Membaca:
Jurulatih Portugal tidak kesal letak Ronaldo di bangku simpanan

Penyerang Portugal #07 Cristiano Ronaldo di sebelah penjaga gol Maghribi #01 Yassine Bounou semasa perlawanan bola sepak suku akhir Piala Dunia Qatar 2022. (Gambar: MANAN VATSYAYANA / AFP)

DOHA: Ketua jurulatih Portugal, Fernando Santos berkata beliau tidak menyesal meletakkan Cristiano Ronaldo di bangku simpanan selepas pasukannya tersingkir dari Piala Dunia FIFA selepas ditundukkan Maghribi pada Sabtu (10 Dis).

Tandukan Youssef En-Nesyri pada minit akhir separuh pertama menjamin kemenangan bersejarah Maghribi, yang bakal berdepan dengan Perancis untuk menempah tempat bagi perlawanan akhir.
Ronaldo, yang bermula di bangku simpanan untuk dua perlawanan berturut-turut, akhirnya dimasukkan pada minit ke-51 sebagai pengganti Ruben Neves. Namun Ronaldo bergelut selepas dikawal hebat pertahanan Maghribi.

"Saya tidak menyesal memulakannya di bangku simpanan," kata Santos.

"Saya percaya inilah pasukan yang sudahpun beraksi dengan baik ketika berdepan Switzerland (dalam pusingan 16). Cristiano adalah pemain yang hebat dan dia diturunkan apabila kami rasakan khidmatnya diperlukan".

Ronaldo yang hanya menyumbang satu gol dalam Piala Dunia kali ini menerui tendangan penalti menentang Ghana dalam perlawanan pembukaan mereka, kelihatan sedih selepas perlawanan di stadium Al-Thumama.

Pemain berusia 37 tahun itu yang sudah memecahkan rekod dengan membuat 195 penampilan antarabangsa dan menjaringkan 118 gol untuk negaranya, keluar dari padang dengan tangisan sebaik wisel penamat dibunyikan.

"Dua orang yang paling kecewa dengan keputusan itu adalah saya dan Cristiano Ronaldo," kata Santos.

"Namun ia sebahagian daripada tugas kami sebagai pemain dan jurulatih."

Santos tidak dijamin kedudukannya sebagai jurulatih Portugal dan berkata beliau akan berjumpa dengan ketua Persekutuan Bola Sepak Portugal dalam beberapa minggu akan datang.

"Kami tidak pergi sejauh yang kami inginkan namun pasukan kami mempunyai mutu yang hebat dan kami boleh bermain dengan lebih baik. Ada perlawanan yang memerlukan tuah dan malangnya kami tidak mendapatnya hari ini."
Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita