Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Jurulatih M'sia sasar Harimau Malaya juarai Piala AFF Mitsubishi Electric

Anggaran Waktu Membaca:

PATHUM THANI: Ketua jurulatih Malaysia, Kim Pan Gon, mengakui menjuarai Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 menjadi sasaran pentingnya bersama skuad Harimau Malaya.

Ia diakui Pan Gon menjelang kemuncak pertembungan untuk slot di peringkat akhir, menentang juara bertahan Thailand pada perlawanan separuh akhir kedua Piala AFF 2022 di Stadium Thammasat pada Selasa malam (10 Jan). 

Jurulatih dari Korea Selatan berusia 53 tahun yang dilantik pada Januari tahun lalu berkata jika Malaysia mara ke peringkat akhir kali ini, ia adalah satu penghormatan baginya untuk menggembirakan peminat bola sepak negara itu sebelum bertarung untuk mencapai kejuaraan.

“Secara peribadi bagi saya Piala AFF adalah kejohanan yang sangat menarik, ketika saya di Hong Kong dan Korea Selatan, saya berminat untuk menyaksikan kejohanan ini. Apabila dilantik sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan, menjadi juara Piala AFF adalah antara salah satu sasaran penting.

“Jika kita ke peringkat akhir, ia merupakan satu penghormatan besar bagi membanggakan penyokong Malaysia,” katanya semasa sidang media praperlawanan pada Isnin (9 Jan). 

Mengulas mengenai perlawanan pada Selasa, walaupun bersyukur dengan kemenangan 1-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil Sabtu lalu (7 Jan), Pan Gon berkata para pemainnya perlu sentiasa fokus dan peka dengan kemampuan skuad Gajah Perang terutama ketika beraksi di gelanggang sendiri.

Bagaimanapun, katanya, skuadnya sudah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk perlawanan pada Selasa. 

“Kami mempunyai kelebihan tetapi kami sedar sepenuhnya bahawa perlawanan di tempat lawan adalah sangat sukar, namun kami telah pulih dari segi mental dan fizikal serta bersedia untuk perlawanan esok. Semua sudah bersedia dan penuh keyakinan untuk menentang Thailand... Kami mahu memperoleh keputusan yang baik,” katanya.

Sementara itu, pemain tengah, Stuart Wilkin, berkata mereka tidak boleh hanya bermain secara bertahan, sebaliknya perlu mencari gol awal untuk terus memberi tekanan kepada pasukan lawan.

“Menjelang perlawanan ini, kami tahu bukan mudah bermain di tempat lawan menentang pasukan Thailand yang bagus tetapi sudah tentu kami mencari gol untuk menekan mereka, ia akan menjadi satu cabaran tetapi sesuatu yang perlu kami lakukan,” kata pemain Sabah FC berusia 24 tahun itu.

Berbekalkan satu gol, skuad Harimau Malaya hanya memerlukan keputusan seri untuk mengesahkan tempat ke peringkat akhir Piala AFF 2022.

Sementara itu, Vietnam mara ke peringkat akhir Piala AFF 2022 selepas menewaskan Indonesia 2-0 pada aksi separuh akhir kedua di Stadium My Dinh, Hanoi pada Isnin malam. 

Vietnam merakam agregat 2-0 selepas aksi pertama di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta Jumaat lalu (6 Jan) berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan