Juara StanChart tempatan hadiahkan S$500 kepada teman Kenya
Atlit marathon Singapura, Soh Rui Yong, memberikan S$500 daripada hadiah tempat pertama Maraton Standard Chartered Singapore yang dimenanginya kepada pelari Kenya, Elisha Sawe
Soh Rui Yon dan teman Kenyanya, Elisha Sawe. (Gambar: Soh Rui Yong/Facebook)
SINGAPURA: Atlit marathon Singapura, Soh Rui Yong, memberikan S$500 daripada hadiah tempat pertama Maraton Standard Chartered Singapore yang dimenanginya kepada pelari Kenya, Elisha Sawe yang menjadi pelari dampingannya untuk sebahagian daripada larian tersebut. Soh merangkul hadiah S$10,000 sebagai juara.
Dalam satu catatan Facebook Jumaat lalu (8 Dis), atlit yang berusia 26 tahun itu menjelaskan bahawa Sawe merupakan seorang atlit maraton elit yang menetap dan berlatih di Malaysia. Dia datang ke Singapura dengan harapan untuk memenangi sedikit hadiah berupa wang dalam marathon itu.
Namun, Sawe tidak dapat mencapai pretasi yang baik dengan awal-awal lagi sudah tertinggal jauh ke belakang berbanding atlit-atlit di kumpulan hadapan. Soh berkata bahawa dia lari bersebelahan Sawe di kilometer ke 13 dan memintanya lari bersama.
Soh berkata: “Elisha menyahut tawaran tersebut dengan baik hati dan … lari hingga kilometer ke 31 sebelum menarik diri daripada acara itu untuk mendapatkan rawatan.”
“Berlari baki 11.2 kilometer sendirian, saya berjaya memenangi perlumbaan itu dan saya (kemudian) menantikan Elisha yang sedang dibawa pulang ke khemah para atlit kategori elit,” kata Soh.
Soh berkata bahawa dia memberi Sawe S$500 “kerana menjadi teman yang baik dalam perlumbaan itu”. Dia juga berharap bahawa wang itu akan membantu Sawe dalam menampung kos perbelanjaan bagi acara-acara perlumbaannya di masa hadapan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.